KUALA TERENGGANU - Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan tugas dan peranan digalas oleh kepimpinan tertinggi parti begitu berat sehingga bukan calang-calang individu boleh diangkat sebagai calon.
Jelasnya, jawatan disandang beliau ketika ini juga agak berat untuk dilaksanakan, apatah lagi jawatan sebagai pemimpin nombor satu parti.
"Mana lah saya layak untuk dua jawatan tertinggi itu, tidak terjangkau bagi saya menjawat jawatan itu.
"Saya ini (sebagai naib presiden) pun begitu berat bagi saya, tentulah (jawatan) lebih berat dari itu, saya tidak pernah terpikir dan tidak berada dalam jangkauan (akal fikiran) saya, " katanya.
Ahmad Samsuri berkata demikian ketika diminta mengenai kemungkinan namanya dicalonkan untuk bertanding jawatan tertinggi dalam pemilihan parti itu pada September depan.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 di Wisma Darul Iman, pada Rabu.
Turut berangkat pada majlis itu, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Sultan Mizan Zainal Abidin.
Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim dan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri menyatakan beliau belum memutuskan sama ada akan mempertahankan jawatan Naib Presiden Pas yang disandangnya sejak 2019.
"Kalau ada dicalonkan, saya tengok dulu macam mana...tak tentu lagi, mana tahu tak cukup pencalonan kerana untuk bertanding ini ada syaratnya.
"Kalau cukup (memenuhi syarat), baru boleh bertanding tetapi memerlukan persetujuan daripada individu berkenaan.
"Jadi untuk naib presiden...kalau saya rasa macam saya perlu beri ruang kepada muka-muka baru yang lebih segar umpamanya, mengapa tidak saya mengundurkan diri, tak ada masalah. Kita dalam Pas ini, suasana demokrasinya sangat harmoni," katanya.
Menurut Ahmad Samsuri, perlembagaan Pas tidak menyekat mana-mana individu yang memiliki cukup pencalonan untuk bertanding, namun terpulang kepada individu tersebut sama ada bersetuju atau sebaliknya.
"Menjadi amalan Pas, ada individu yang cukup syarat dan pencalonan, tetapi tidak mahu bertanding.
"Sebagai contoh pada sesi pemilihan jawatankuasa Pas pusat 2021 lalu, seramai 50 individu dicalonkan, tetapi yang bertanding hanya 24 orang, itu lah membuktikan kesuburan dan amalan demokrasi parti," katanya.
Beliau berkata, setiap calon yang bercadang menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden perlu mendapat sekurang-kurangnya 10 pencalonan.
"Walaupun cukup pencalonan, terpulang kepada persetujuan individu itu sama ada mahu bertanding atau sebaliknya," ujar beliau.
Khamis lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan Pas tidak menghalang mana-mana pemimpin parti berkenaan untuk bertanding merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.