SHAH ALAM - Dua pemimpin kanan DAP mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pada Kongres Kebangsaan Parti ke-18 yang akan diadakan pada 16 Mac depan.
Penasihat Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras dan Bendahari Kebangsaan DAP, Fong Kui Lun merangkap Ahli Parlimen Bukit Bintang dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, keputusan itu dibuat atas empat sebab utama.
Menurutnya, sudah tiba masanya untuk memberi lebih banyak ruang kepada generasi baharu pemimpin memainkan peranan yang lebih penting demi melonjakkan parti ke tahap yang lebih tinggi.
“Kami telah mendedikasikan setengah abad dalam memperjuangkan idealisme DAP, menyaksikan transformasinya daripada sebuah parti pembangkang yang lama bertapak kepada rakan utama dalam kerajaan gabungan.
“Perjalanan panjang ini membuatkan kami rasa bangga dan puas. Hari ini, DAP memiliki ramai individu berbakat serta pelan peralihan kepimpinan yang mantap,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Tambah pemimpin kanan DAP itu, faktor kedua ialah mereka mempunyai keyakinan penuh terhadap pasukan kepimpinan teras DAP.
Jelasnya, pendekatan strategik mereka dalam aspek inisiatif pembinaan parti dan kesediaan menghadapi pilihan raya mencerminkan perancangan yang tersusun rapi serta sinergi antara usaha dalaman dan luaran, selari dengan perkembangan semasa.
Kecekapan individu berbakat dalam parti katanya, memberikan jaminan dan keyakinan bahawa masa depan parti berada di tangan yang berkebolehan.
“Faktor ketiga ialah landskap politik yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa sememangnya membentuk dan menentukan gaya kepimpinan yang berbeza dalam setiap generasi.
“Bagaimanapun, prinsip asas yang tetap relevan adalah bahawa reformasi mesti selari dengan kemajuan masyarakat dan usaha berani perlu dilakukan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik serta keutamaan negara.
“Dalam hal ini, kepimpinan teras DAP menunjukkan dinamikanya dengan menghubungkan warisan masa lalu dengan masa depan, sambil menerima inovasi dan kemajuan. Kami sepenuhnya mengiktiraf keupayaan serta bakat kepimpinan mereka,” ujarnya.
Faktor terakhir, mereka telah mendedikasikan diri dalam proses demokrasi sepanjang lima dekad yang lalu.
Dalam tempoh itu, mereka sentiasa berusaha merealisasikan visi ‘Malaysian Malaysia’ yang bebas, adil, saksama dan berbilang kaum melalui pilihan raya.
“Ini adalah misi yang tidak pernah berubah dalam kalangan rakan seperjuangan parti kami, yang telah berjuang tanpa henti dan berkorban demi mempertahankan idealisme kami.
“Walaupun sebahagian daripada kami berpeluang berkhidmat selama beberapa penggal sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, kami juga mengiktiraf ramai ‘wira yang tidak didendang’ dalam DAP iaitu anggota biasa yang secara ikhlas menyumbang di belakang tabir dan berkorban demi perjuangan parti.
“Oleh itu, kami ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada semua rakan seperjuangan. Sesungguhnya, berkat dedikasi serta pengorbanan anda semua, DAP berdiri teguh seperti hari ini,” jelasnya.