KOTA KINABALU - Walaupun usianya hampir mencecah 70 tahun dan rambutnya telah memutih, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob tidak menganggap itu sebagai halangan untuk bersedia jika dicalonkan semula mempertahankan kerusinya.
Malah beliau tidak menolak faktor rakyat masih mahukan pemimpin yang sama di kawasan tersebut menyebabkannya boleh kembali menjadi calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini.
"Dalam politik ini, rakyat mahu kita jadi wakil rakyat, bukan saya yang mahu. Selama saya berpolitik, saya tidak pernah terhegeh-hegeh untuk menjadi calon, itu dasar saya.
"Saya mahu serah kepada rakyat, kalau rakyat kata 'Datuk tanding dan kami akan undi', okeylah. Jadi selama ini, dulu ada arahan pada tahun 90-an saya disuruh bertanding, itu bukan kehendak rakyat, tetapi pemimpin, jadi saya tidak menang.
"Tetapi setelah itu, rakyat yang minta saya tanding, jadi kali ini kalau rakyat kata 'Datuk tanding' okeylah. Boleh (bertanding), saya masih sihat umur 69 tahun masih okey, rambut saja putih tapi dalam masih okey, orang cakap atas salji bawah api," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Tidak melatah dengan tuduhan tidak berasas, Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, beliau sentiasa memperjuangkan nasib rakyat terutama di kawasannya.
"Sebagai pemimpin, kita buat sesuatu demi rakyat walaupun ada orang kata saya tidak memperjuangkan rakyat tetapi itu persepsi individu yang ada perasaan dengki, musuh dalam politik. Tapi realitinya bukan begitu, kita utamakan rakyat dahulu.
"Orang cakap, saya katak, tapi ada sebab kenapa saya lari dari Parti Warisan (Warisan). Saya cuma tak mahu endah saja, saya tahu semua sebab saya ini Ketua Penerangan Warisan (dulu), cuma kita tidak mahu berpanjangan bermusuh," katanya.
Beliau yang turut terpalit dengan skandal rasuah melibatkan ADUN Sabah baru-baru ini bagaimanapun berkata, rakyat yang membuat pilihan pada pilihan raya nanti berdasarkan dua perkara iaitu kredibiliti pemimpin dan parti itu sendiri.
"Saya fikir kedua-duanya. Satu, parti itu mesti ada kredibiliti tapi mahukah kita menyokong parti nyamuk yang tiada 'track record'? Yang kedua, pemimpin. Siapa pemimpinnya, kita tengok latar belakangnya.
"Sekarang ini pengundinya banyak graduan, ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tingkatan Enam, diploma, ijazah, adakah pengundi tidak rasional, tentu mereka rasional.
"Siapa pemimpin parti itu? Bagaimana perangai dan rekodnya? Apa yang pernah dia buat? Bagaimana pemikirannya, okey atau tidak? Kalau kita tahu pemimpin yang membawa parti baru ini memang sudah rosak, sudah ada 'track record' yang negatif, masih kita semua sokongkah?," ujarnya.