AMK Sabah mahu Muhammad Kamil diangkat sebagai Ketua AMK Pusat

KOTA KINABALU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah mahu Timbalan Ketua AMK Pusat, Muhammad Kamil Abdul Munim diangkat sebagai Ketua AMK Pusat dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini.

Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil berkata, pihaknya menyatakan sokongan itu berdasarkan pengalaman Muhammad Kamil dalam jawatannya dan kerjasama beliau bersama Ketuanya, Adam Adli Abd Halim yang telah terbukti memperkukuh serta mengembalikan keyakinan anak muda terhadap perjuangan PKR.

"Tambahan pula, dengan peranannya sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan, pengalaman beliau menjadi modal utama untuk menggalas amanah dan tanggungjawab ini dengan cemerlang.

"Walaupun terdapat calon lain dalam pimpinan AMK Pusat, setakat ini saya tidak menemui seseorang yang mampu menyampaikan pandangan dan idea dengan jelas serta mempunyai pengaruh mendalam dalam kalangan anak muda, sama ada dalam parti mahupun di luar.

"Lagipun, ini merupakan penggal terakhir beliau dalam AMK Pusat, sudah sewajarnya kita memberi peluang kepada beliau untuk menerajui AMK Pusat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Kota Marudu itu turut berkata, Muhammad Kamil adalah pemimpin muda yang berwibawa, berprinsip dan komited dalam memperjuangkan agenda reformasi serta memperkasakan anak muda di seluruh negara.

"Kepimpinan dan visi beliau diyakini mampu membawa AMK ke tahap yang lebih dinamik serta memastikan perjuangan hak rakyat terutamanya generasi muda, terus relevan.

"Beliau sebagai Timbalan Ketua AMK Pusat, telah turun ke Sabah tidak kurang daripada lapan kali membuktikan komitmen dan keprihatinannya terhadap AMK Sabah," katanya.