KUALA TERENGGANU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu menegaskan kepimpinan yang berwibawa dan berani diperlukan bagi memimpin AMK ke arah lebih dinamik dan mantap dalam menghadapi cabaran politik negara pada pemilihan PKR Mei ini.
Ketua AMK Terengganu, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin menyatakan Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim merupakan calon terbaik untuk menggalas tanggungjawab tersebut berdasarkan pengalaman luas dan ketokohannya dalam memajukan gerakan AMK.
"AMK Terengganu menegaskan bahawa pemilihan Ketua AMK yang akan datang amat penting bagi memastikan hala tuju AMK kekal progresif dan relevan dengan tuntutan semasa.
"Kepimpinan yang berwibawa dan berani diperlukan bagi memimpin AMK ke arah lebih dinamik dan mantap dalam menghadapi cabaran politik negara.
"Sebagai pemimpin yang berani dan mempunyai rekod kepimpinan yang kukuh, kami yakin Muhammad Kamil akan menjadi pilihan tepat untuk memimpin AMK dengan penuh integriti dan semangat juang yang tinggi," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Sebelum itu media melaporkan, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan mengakui wujudnya permintaan daripada akar umbi supaya beliau bertanding bagi jawatan Ketua AMK.
Katanya, atas dasar itu beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan terbabit pada pemilihan yang berlangsung Mei ini.
PKR sebelum ini menetapkan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) pada 24 Mei ini.
Mengulas lanjut, Md Asyraf Zulfadhly berkata, pihaknya turut menyeru kepada seluruh anggota AMK untuk memberikan sokongan penuh kepada calon yang mampu memimpin dengan tegas, berani dan berfokus ke arah pencapaian matlamat AMK yang lebih progresif.
"Pemilihan ini bukan sahaja penting untuk masa depan AMK tetapi juga memastikan bahawa gerakan ini terus memainkan peranan utama dalam membentuk masa depan politik negara dengan menyuarakan aspirasi anak muda, meningkatkan penglibatan politik serta memacu agenda reformasi ke arah yang lebih inklusif dan adil," jelas beliau.