Azmin rayu masyarakat Cina beri peluang PN tadbir Selangor

KLANG - Perikatan Nasional (PN) merayu kepada seluruh masyarakat Cina khususnya di Selangor bagi memberi peluang kepada parti itu untuk mentadbir negeri tersebut.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau memberi jaminan bahawa komponen parti itu termasuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan mengembalikan kekuatan ekonomi.

Beliau mendakwa, negara pada masa kini banyak bergantung dengan tenaga pekerja asing menyebabkan produktiviti menurun dan tiada sebarang peluang baharu.

"Dua hari lalu Pengerusi PN bertemu dengan pengusaha dan industri dalam kalangan masyarakat Cina dipimpin Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai.

"Dalam dialog tersebut beliau secara terbuka menyatakan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyelamatkan ekonomi Malaysia ketika Covid-19 dengan pakej rangsangan ekonomi yang menyelamatkan ratusan ribu syarikat di Selangor dan negara.

"Kita menjadi penyelamat dan memberi jalan penyelesaian. Saya berdiri di depan ini dan merayu kepada masyarakat Cina di seluruh Selangor, beri peluang kepada PN untuk selamatkan ekonomi dan cipta satu pertumbuhan yang lebih terjamin untuk masa depan Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Makan Malam Sempena Tahun Baru Cina 2025 di Restoran Palm Grove di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Ketua Pembangkang Selangor mendakwa, ramai pelabur asing yang tidak lagi yakin dengan Malaysia selepas ia di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

"PN bukan parti sempit. Kita mahu menggunakan platform PN untuk membantu rakyat di Selangor.

"Kita lihat masalah ekonomi begitu parah yang mana kebanyakan peniaga sama ada di Selangor atau seluruh negara ini mahu peluang baharu, dasar pelaburan yang 'business friendly' dan sistem yang adil, efisien serta efektif.

"Tetap Kerajaan Madani adalah kerajaan gagal. Lihat saja ekonomi, ramai pelabur asing tidak yakin dengan Malaysia," ujarnya.