'Ketua Pemuda Pas mungkin terlupa pernah berdebat dengan Pemuda Amanah' - Hasbie

SHAH ALAM - Kenyataan sinis yang dilontarkan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah) hanya layak berdialog dengan pasu bunga dianggap amat melucukan.

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda berkata, Afnan Hamimi seolah-olah terlupa bahawa beliau sendiri pernah menerima pelawaan untuk berdebat dengan pihaknya menerusi sesi Berani Semuka anjuran Sinar Harian sekitar dua tahun lalu.

"Jika logik bahawa yang layak lawan debat dengan kami adalah pasu bunga. Adakah Afnan Hamimi juga taraf 'pasu bunga' kerana beliau sendiri pernah menerima pelawaan berdebat dengan Pemuda Amanah?

"Saya fikir ini agak melucukan dan dalam masa sama hairan kerana parti pembangkang kebiasaannya beria-ia nak berdebat, pihak kerajaan yang takut.

"Tetapi, zaman sekarang dah terbalik. Pembangkang takut, pihak kerajaan pula berani ajak berdebat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

**media[3010594]**

Sebelum ini, Pemuda Amanah mencabar Pemuda Pas untuk mengadakan sesi dialog bagi menyelesaikan segala masalah dihadapi oleh kedua-dua parti politik tersebut.

Sekretariatnya, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin mendakwa, pihaknya belum menerima sebarang maklum balas daripada Pemuda Pas berkenaan undangan untuk berdialog dan membincangkan mengenai tuduhan berat yang dilontarkan terhadap Amanah.

Menurut beliau, pihak sekretariat Pemuda Amanah sudah menyampaikan undangan dengan menghantar sendiri emel dan surat secara fizikal ke Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut.

Susulan itu, Afnan Hamimi dan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar secara sinis berpandangan, Pemuda Amanah mungkin lebih layak berdialog dengan pasu bunga berbanding mengajak mereka berdialog mengenai isu-isu menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang sewajarnya dipertahankan semua pihak.

Mohd Hasbie berpendapat, pemimpin muda sepatutnya membudayakan wacana secara dua hala, bukannya sekadar berani melontarkan fitnah.

Tambah ahli Dewan Negara itu, ia kerana sebelum ini Pas pernah melontarkan fitnah yang berat dan menuduh Amanah sebagai khadam DAP.

"Jadi, kita ajaklah untuk berbahas dan berbincang dua hala, tetapi malangnya mereka hanya berani memfitnah dan tak berani bersemuka untuk mendengar sendiri hujah serta kebenaran," ujarnya lagi.