KOTA KINABALU - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyatakan sokongan penuh supaya Fadhlina Sidek dikekalkan menerajui Ketua Wanita PKR Pusat.
Ketua Wanita PKR Sabah, Noriha Yakub berkata, sejak Fadhlina memegang jawatan itu pada Julai 2022, beliau telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam memperkukuhkan peranan wanita dalam politik.
"Beliau telah berusaha mendorong lebih banyak penyertaan wanita dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan tanpa mengira perbezaan kumpulan dalam parti.
"Kejayaannya memimpin organisasi Wanita Keadilan (MPWP) dengan baik membuktikan keupayaan beliau dalam menggerakkan jentera wanita secara inklusif dan efektif," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, antara pencapaian lain terbaik yang dilaksanakan Menteri Pendidikan itu termasuk dari segi pembangunan komuniti.
"Beliau mengetuai pelbagai inisiatif yang memberi impak besar kepada pembangunan komuniti, termasuk program literasi undang-undang keluarga Islam dan perlindungan kanak-kanak, selari dengan latar belakangnya sebagai peguam syarie dan aktivis sosial.
"Keprihatinannya terhadap kebajikan rakyat turut terbukti apabila beliau menggerakkan misi banjir Wanita Keadilan, satu pasukan khas wanita yang membantu mangsa-mangsa bencana banjir di seluruh negara," katanya.
Noriha berkata, Fadhlina turut mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti membawa nama Malaysia dengan mengetuai delegasi negara ke Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) ke-42 di Paris.
"Dalam persidangan ini, beliau berkongsi visi serta pencapaian Malaysia dalam bidang pendidikan dan kebudayaan, membuktikan kebolehannya sebagai pemimpin wanita yang berwibawa di peringkat global," katanya.
Sehubungan itu, Noriha berkata, berdasarkan rekod prestasi cemerlang, Wanita Keadilan Sabah dengan penuh keyakinan menyokong agar Fadhlina dikekalkan sebagai Ketua Wanita Keadilan Malaysia.