Darurat mesti dilaksanakan di Gerik, Bugaya

SHAH ALAM - Darurat perlu dilaksanakan di dua kawasan iaitu di Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya memandangkan situasi pandemik Covid-19 di Malaysia semakin meningkat termasuklah yang tertinggi sebanyak 2,188 kes semalam.

Penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, berikutan angka postif Covid-19 belum menunjukkan tanda-tanda menurun, kerajaan kini perlu memikirkan soal kesihatan rakyat daripada kepentingan politik.

“Kita tidak boleh korbankan kepentingan masyarakat hanya kerana hendak laksanakan pilihan raya. Seperti di Batu Sapi, darurat perlu dilaksanakan di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik.

“Situasi semasa negara menunjukkan peningkatan kes Covid-19 dan kesihatan perlu diutamakan bagi memutuskan rantaian wabak ini, jika pilihan raya kecil (PRK) dilaksanakan kemungkinan ia akan mengundang risiko,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut beliau, buat masa ini semua parti di Malaysia perlulah berkorban dan saling bertolak ansur.

Beliau berkata, jika kes Covid-19 menurun maka barulah difikirkan kesesuaian untuk melaksanakan PRK semula.

ARTIKEL BERKAITAN: SPR terima notis kekosongan kerusi Parlimen Gerik, DUN Bugaya

Sementara itu, pakar undang-undang, Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar daripada Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata, walaupun pilihan raya penting bagi setiap rakyat untuk melaksanakan hak memilih, namun sewajarnya kerajaan mengambil iktibar penularan wabak koronavirus dengan menangguhkan PRK tersebut ke satu tarikh lain yang lebih sesuai.

Menurutnya, walaupun prosedur operasi standard (SOP) yang ketat boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun berdasarkan pengalaman pematuhan kepada SOP seperti yang sebelum ini, ia didapati amat lemah sehingga menyebabkan wabak itu sukar dibendung.

“Jika PRK di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik ditangguhkan seperti di Parlimen Batu Sapi dengan membuat proklamasi darurat di bawah Perkara 150 oleh Yang di-Pertuan Agong, penduduk Gerik dan Batu Sapi tidak mempunyai wakil di Parlimen, manakala penduduk di Bugaya tidak mempunyai wakil di DUN Sabah sehinggalah pilihan raya dapat diadakan kelak.

“Bagaimanapun pihak berwajib hendaklah memastikan hak perlembagaan dan kepentingan penduduk di kawasan-kawasan tersebut terbela dan diberi perhatian walaupun mereka tidak mempunyai wakil di Parlimen dan DUN,” katanya.

Beliau menambah, proklamasi darurat sudah semestinya menafikan hak demokrasi penduduk di kawasan tersebut, oleh itu alasan untuk mengisytiharkan darurat mestilah munasabah, meyakinkan dan merupakan jalan yang terakhir untuk kerajaan bagi mengatasi masalah yang sedang dihadapi.

 

PRK Bugaya PRK Gerik SPR
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :