SPR terima notis kekosongan kerusi Parlimen Gerik, DUN Bugaya

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan sudah menerima notis kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen P054 Gerik dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya Sabah.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 18 November lalu berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

Katanya, bagi kekosongan luar jangka kerusi DUN Bugaya SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya pada 23 November lalu dan satu PRK juga akan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut berdasarkan kepada Artikel 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah.

"Justeru, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 27 November ini pada jam 9.30 pagi bertempat di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR, Putrajaya yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

"Mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Pada 16 November lalu, Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia di Raub, Pahang kerana sakit jantung.

Sementara itu, ADUN Bugaya, Allahyarhamah Manis Muka Darah pula dilaporkan meninggal dunia keesokan harinya kerana menderita sakit buah pinggang.

"SPR merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua pemimpin itu dan semoga tabah menghadapi kehilangan orang yang tersayang," katanya.

 

Manis Muka Mohd DarahHasbullah Osman SPR PRK Bugaya PRK Gerik
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular