PONTIAN - UMNO tidak boleh menunggu sehingga tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diumumkan, sebaliknya perlu menggerakkan persiapan seawal tahun keempat selepas PRU15.
Ketua Sekteriat War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan purata 15 pilihan raya sebelum ini, tempoh antara satu pilihan raya dengan pilihan raya berikutnya adalah sekitar empat tahun empat bulan.
Menurut beliau, PRU15 yang berlangsung pada 19 November 2022 genap memasuki tahun keempat pada 19 November lalu, sekali gus menjadikan tempoh sekarang sebagai masa sesuai untuk parti memperkemas persiapan menghadapi PRU16.
"Apabila melepasi sahaja tahun keempat, bahagian-bahagian perlu mula bekerja untuk menghadapi PRU16.
"Purata satu pilihan raya ke satu pilihan raya adalah empat tahun empat bulan, tetapi mungkin juga empat tahun satu bulan, dua bulan, tiga bulan atau sehingga enam bulan. Itu terpulang, namun apabila melepasi empat tahun, ia sudah menjadi tahun persiapan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Perasmian Dewan Terbuka Al -Hikmah Sekolah Agama Bandar Benut di sini pada Sabtu.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan, persiapan itu perlu merangkumi pelbagai aspek termasuk memperkukuh jentera pilihan raya, mendekati pengundi dan menggerakkan portfolio penerangan.
"Saya berharap portfolio pertama yang perlu digerakkan ialah penerangan. Ada banyak isu yang perlu kita bawa, ketengahkan dan jawab," katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan, penyelarasan pendirian politik BN antara peringkat negeri dan Pusat perlu diputuskan segera bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Katanya, jentera di peringkat akar umbi perlu mempunyai hala tuju yang jelas berhubung kerjasama politik parti menjelang PRU16.
"Kita tidak mahu orang keliru apabila di negeri kita tidak bersama, tetapi di Pusat kita bersama.
"Di negeri ikut BN, di Pusat ikut PH, mana boleh begitu. Saya kira kita perlu selaraskan," katanya.
Ahmad turut menggesa kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat bahagian diperkukuh menerusi penganjuran program bersama, sebagaimana yang dilaksanakan di tiga negeri.
"Apabila tiga negeri sudah bersama dengan PN, takkan di Pusat kita nak bersama dengan PH pula," katanya.