'Jangan terpedaya slogan penyatuan Melayu palsu' - Mat Sabu

SHAH ALAM – Orang Melayu diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan slogan penyatuan Melayu yang palsu, sebaliknya perlu menilai sesuatu perjuangan berdasarkan kejujuran dan amalan pihak yang memperjuangkannya.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perjuangan atas nama bangsa dan agama tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membenci pihak lain, apatah lagi mempertahankan kepentingan kelompok tertentu.

Menurutnya, kebanggaan terhadap bangsa Melayu perlu mempunyai batas dan tidak boleh dijadikan alasan untuk mempertahankan kepimpinan yang terpalit dengan rasuah.

"Saya mengajak orang Melayu agar tidak terpedaya dengan slogan penyatuan Melayu yang palsu.

"Ukurlah setiap seruan itu pada kejujuran perjuangannya, dan akhlak pemimpinnya," katanya ketika menyampaikan pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah di Dewan Raja Muda Musa, pada Sabtu.

Justeru, beliau berpandangan, tidak wajar seseorang berbangga dengan kepimpinan yang melakukan rasuah hanya kerana mereka sebangsa, sebaliknya prinsip keadilan dan kebenaran perlu diutamakan.

Mengambil pengajaran daripada kisah Rasulullah SAW, Mohamad berkata, keadilan perlu ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau pangkat seseorang, termasuk apabila melibatkan individu yang mempunyai kedudukan mulia dalam masyarakat.

"Kita sebagai orang Melayu mesti tegas berprinsip,kebenaran tetap kebenaran walaupun ianya pahit," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa penyatuan bangsa tidak seharusnya dijadikan alat untuk meraih sokongan politik dan mendapatkan kuasa.

Sebaliknya, beliau berkata, terdapat pihak yang menggunakan sentimen bangsa dan agama dengan membangkitkan kebencian terhadap kaum lain, selain mencaci serta memfitnah pihak berbeza atas nama perjuangan Melayu dan Islam.

"Apakah ini penyatuan bangsa yang kita inginkan? Ini bukan penyatuan bangsa. Ini hanyalah jalan untuk memenangi sokongan untuk mendapat kuasa dan meneruskan agenda memperkayakan kelompok mereka dengan menyapu harta negara," katanya.

Tambah beliau, penyatuan yang sejati sepatutnya bertujuan mengangkat martabat bangsa, memperteguh amanah dan membela kepentingan rakyat.

Mohamad turut menegaskan orang Melayu berhak mendapat kepimpinan yang jujur, cekap dan berani memikul tanggungjawab.

Menurutnya, kecintaan terhadap bangsa perlu diterjemahkan melalui usaha membina ilmu, memperkukuh ekonomi dan memelihara maruah.

"Maruah Melayu terangkat apabila pemimpinnya menolak rasuah, institusinya ditadbir dengan amanah dan rakyatnya mampu berdiri dengan bermaruah.

"Marilah kita satukan orang Melayu atas kebenaran dan keadilan, serta bersama seluruh rakyat membina Malaysia yang makmur dan dihormati," ujarnya lagi.