KOTA KINABALU - Part Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mungkin akan bertanding lebih 18 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan pada tahun ini.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam PRN Sabah yang lalu Bersatu bertanding sebanyak 18 kerusi dan berjaya memenangi 11 daripadanya.
"Ini membuktikan walaupun masa yang singkat kita boleh mencapai kejayaan, walaupun sekarang ini berbeza dan kita tidak mempunyai ramai wakil rakyat dari Sabah tetapi kita mempunyai pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab untuk menentukan kita cukup baik di Sabah ini.
"Dalam masa sesingkat itu kita bertanding 18 (kerusi), sekarang ini kita sudahpun bermula di Sabah sejak tahun 2020 dan sudah hampir lima tahun, jadi dengan penambahan ahli-ahli kami sudah bersedia kali ini, maksudnya kita akan ada lebih 18 kerusi.
"Kalau rakyat mahu (Bersatu bertanding lebih 18 kerusi), kenapa tidak? Kalau rakyat mahu, kami buat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Bersatu Sabah, di Sepanggar, di sini pada malam Rabu.
Ditanya mengenai kerjasama dengan parti tempatan di negeri ini, beliau berkata, Bersatu mengambil sikap terbuka untuk bekerjasama dengan mereka yang mempunyai cara kepimpinan yang sama dalam menentukan masa depan rakyat Sabah.
"Kita tidak mahu bercakap besar tetapi yang penting kepada kita adalah untuk menentukan kita mempunyai sikap terbuka untuk bekerjasama dengan mereka yang sama cara kepimpinan, yang tahu untuk menentukan masa depan negeri dan rakyat Sabah ini.
"Itulah pilihan kita yang ada yang kita akan fikir untuk menentukan supaya bukan hanya slogan 'Kasi Bagus Sabah' tetapi ia akan menjadi kenyataan," katanya.
Bagaimanapun, Hamzah berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi diadakan bersama parti tempatan di negeri ini untuk dijadikan rakan kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.
"Ketika ini kita adalah sebuah parti yang terbuka, tidak ada perbincangan formal tetapi secara tidak rasmi Datuk Seri Ronald Kiandee sudah bertemu dengan ramai rakan-rakan di Sabah ini," katanya.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan Ronald yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah akan menjadi Pengarah Pilihanraya bagi Bersatu di Sabah.
Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, beliau melihat kehadiran ramai ahli dan penyokong dalam jelajah Bersatu Sabah itu membuktikan bahawa Bersatu masih wujud di di negeri ini dan seterusnya menafikan dakwaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini.
"Ramai pemimpin GRS yang mengatakan bahawa Bersatu sudah tidak wujud lagi. Hari ini, membuktikan bahawa kita tidak hanya dapat mengumpulkan ahli kami tetapi juga dapat melihat penyokong yang bukan menjadi ahli kita memberikan semangat kepada saya, bukan hanya sebagai Timbalan Presiden tetapi juga sebagai salah seorang yang akan berperanan sama dengan Datuk Seri Ronald dalam PRN Sabah nanti untuk kita mencapai kemenangan.
"Ini juga membuktikan kepada semua penganalis yang selama ini tidak tahu bahawa kita bukan hanya sudah bergerak tetapi pergerakan kita itu untuk memastikan kali ini sokongan mereka yang benar-benar ikhlas meneruskan perjuangan bersama kita, sama ada menang atau kalah yang pentingnya mereka akan terus bersama dengan kita," katanya.