SHAH ALAM - Pembangkang perlu memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang berkesan dalam memastikan keberlangsungan demokrasi di negara ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, ia kerana tanggungjawab utama kumpulan itu adalah memastikan kerajaan memimpin dengan amanah, telus dan cekap.
Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani itu, apa yang berlaku ketika ini adalah pembangkang dilihat sibuk dengan agenda politik untuk menjadi kerajaan berbanding menjalankan tanggungjawab sebagai pengawas kepada pentadbiran negara.
"Namun, jika dalam kalangan mereka sendiri berlaku ketidakharmonian, bagaimana mungkin mereka mampu mentadbir negara dengan baik?
"Justeru, saya menggesa pembangkang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti dan profesionalisme," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Mohammed Taufiq, pembangkang perlu fokus kepada negeri yang ditadbir agar ekonominya menjadi lebih baik dan menguntungkan rakyat bukan membebankan lagi mereka.
Ujarnya, hentikan politik murahan dan tumpukan usaha kepada kebajikan rakyat yang telah memberi mandat.
"Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang giat membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa dan menarik pelaburan asing untuk manfaat rakyat serta negara, pembangkang lebih sibuk menjatuhkan kerajaan dan saling menamakan calon Perdana Menteri dari kalangan mereka.
"Tidakkah ini bercanggah dengan matlamat sebenar mereka sebagai wakil rakyat? Sebagai contoh, Anwar telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, termasuk usaha Malaysia untuk merangka Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengusir Israel daripada keanggotaan PBB," katanya.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq turut mempersoal tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sewaktu beliau memegang jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuasa.
Beliau turut mengingatkan seorang pemimpin negara perlu memiliki karakter yang mampu menyatupadukan masyarakat.
"Apakah hasil konkrit yang telah Abdul Hadi capai untuk Palestin mahupun Malaysia dalam tempoh tersebut? Selain itu, seorang pemimpin negara perlu memiliki karakter yang mampu menyatupadukan masyarakat, bukan sebaliknya.
"Malangnya, Abdul Hadi yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri sering kali menggunakan isu 3R (agama, raja, kaum) untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama.
"Malah, tindakan beliau telah mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor, satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan," katanya.