'Ham daging babi bukan maksud proses buat makanan' - Dr Akmal Saleh

SHAH ALAM - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Naib Presiden DAP, Nga Kor Ming yang menyatakan ham bermaksud proses untuk membuat makanan.

Muhamad Akmal berkata, maksud sebenar ham adalah daging yang datangnya daripada babi.

Menurutnya, jika daging itu datang daripada sumber selain babi ia mesti disertakan sumber di depan dahulu.

"Seperti daging lembu, maka ia disebut beef ham, jika daging ayam, maka ia disebut chicken ham

"Jika ada beranggapan sama sahaja ham, maka jawapannya tidak. Contohnya nama Nga Kor Chong dan Nga Kor Meng walaupun nama di depan sama tetapi orangnya berbeza.

"Bila ada menteri beritahu ham bermaksud proses untuk membuat makanan, maka saya sertakan sekali di sini apakah maksud ham dari 'oxford learners’s dictionary'," ujarnya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada Rabu.

Tambah beliau, dalam prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menetapkan mana-mana makanan yang namanya seperti makanan yang tidak halal seperti ‘ham’, tidak boleh diberikan sijil halal.

“Tetapi kalau chicken ham, beef ham dibenarkan untuk tujuan mengelakkan kekeliruan.

“Ham bukan bermaksud proses untuk buat makanan ya, kalau tak faham tanya pegawai atau boleh buka kamus. Tolong simpan sedikit kebodohan kamu itu,” ujarnya.