SHAH ALAM - Solidariti Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan bererti memperakui sebarang bentuk kesalahan tetapi menuntut hak untuk mendapatkan pengampunan bagi hukuman.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sesiapa yang dijatuhkan hukuman tetap berhak mendapatkan pengampunan menurut lunas undang-undang negara.
Menurutnya, konsep pengampunan oleh pemerintah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa pembukaan Kota Makkah.
"Hadis dengan lafaz ini dinilai dhaif tetapi kisah pengampunan oleh nabi dengan menamakan mereka sebagai 'orang yang bebas' adalah sabit dengan sunnah yang sahih.
"Najib telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dan sedang menjalani hukuman. Beliau juga telah mendapat sebahagian pengampunan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, penganjuran Himpunan Solidariti yang akan diadakan pada Isnin ini di Istana Kehakiman Putrajaya oleh ahli UMNO sebagai tanda sokongan kepada Najib tidak melibatkan parti lain.
Memetik laporan UMNO Online, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, perhimpunan tersebut merupakan satu bentuk sokongan dan setia kawan ahli terhadap Najib yang juga bekas presiden parti kerana jasa besar beliau selama ini.
Tambahnya, jasa bekas Ahli Parlimen Pekan itu bukan hanya kepada parti, tetapi juga kepada agama, bangsa, dan negara.
Mohd Khairuddin turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang bersolidariti untuk Najib.
"Sama ada dalam bentuk perhimpunan dan seumpamanya," ujarnya.