PRN Sabah: GRS letak calon di DUN Usukan cabar Salleh

KOTA BELUD - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meletakkan calonnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Usukan, Datuk Japlin Akim berkata, hanya GRS paling layak dan sesuai untuk mewakili rakyat di kawasan tersebut.

"Kita tidak akan berkompromi lagi dan akan pastikan Usukan menjadi milik GRS pada pilihan raya akan datang. Ini adalah pendirian kita," tegasnya ketika berucap merasmikan majlis Seminar Solidariti Mendepani PRN17 di Dewan Terbuka Datuk Japlin, di sini pada Sabtu.

Tambah beliau lagi, Gagasan Rakyat di DUN Usukan sudah membuat persiapan dan tidak akan berundur ke belakang lagi.

"Mereka mesti terus bergerak ke hadapan dan akan pastikan kerusi DUN Usukan menjadi milik GRS.

"Melalui wakil GRS sahaja segala masalah dan keperluan rakyat di DUN Usukan akan lebih terbela selain meningkatkan lagi kemudahan yang ada," katanya.

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam PRN17 bagi mengekalkan DUN Usukan yang disandangnya ketika ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika berucap merasmikan program Gerak17 UMNO Sabah bagi kawasan DUN Usukan pada November tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pula berkata, banyak pembaharuan telah dilaksanakan di bawah kerajaan GRS pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri sejak empat tahun ini.

"Apa juga yang dibuat oleh GRS, parti Warisan 'claim' itu adalah usaha mereka. Ibarat lembu punya susu, sapi dapat nama.

"Ketua Menteri sekarang Datuk Hajiji banyak buat pembaharuan untuk kemajuan dan kesejahteraan serta memacu masa depan rakyat Sabah," katanya.

Sehubungan itu Nizam berharap rakyat di negeri ini tidak mudah terperdaya kata-kata manis pembangkang.

"Politik Sabah kini juga semakin stabil di bawah kerajaan pimpinan Datuk Hajiji dan sewajarnya rakyat terus memberikan mandat kepada beliau untuk terus menerajui kerajaan demi kesejahteraan kepada semua," katanya.