'Berbuih mulut saya, bergabunglah parti tempatan' - Shafie Apdal

KOTA KINABALU - Hanya dengan bersatu padu antara parti tempatan boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi di Sabah, tegas Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, walaupun sudah beberapa kali usaha untuk bersatu padu dengan parti tempatan lain namun masih ada yang menolaknya.

"Saya sudah suarakan dengan parti lokal, bergabunglah dengan parti lokal, berbuih mulut saya. Berapa tahun sudah? Apa respons yang kami dapat? Mereka kata, tidak. Kami tidak mahu bekerjasama dengan Warisan.

"Jadi terpulang kepada mereka. Apabila saya berkata untuk bersatu, jangan bersatu kerana niat yang tamak, (untuk) kuasa dan jawatan, jangan.

"Kita harus bersatu sebagai rakyat Sabah untuk menyelesaikan masalah terutamanya sekarang. Bukan masalah parti kita tetapi kita kena atasi masalah rakyat di akar umbi ini," katanya kepada pemberita ketika hadir pada sambutan Krismas dan Tahun Baharu di Kapayan, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Warisan ada membuat rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga merupakan gabungan parti tempatan di negeri ini.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Mohd Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, persediaan sudah dilakukan supaya pilihan raya kali ini Warisan dapat membawa perubahan di negeri ini.

"Kita sudah menghadapi pilihan raya banyak kali sudah dan saya yakin kali ini pun kita sudah bersedia untuk memastikan supaya perubahan dapat kita lakukan untuk memastikan Sabah ini berada di landasan yang sepatutnya.

"Tetapi yang lebih penting satu padukan rakyat Sabah. Yang penting bagi kita ialah atasi masalah masa depan anak-anak kita bagaimana pendidikan, kesihatan, bekalan air, bekalan elektrik dan ini penting," katanya.

**media[2954370]**

Dalam perkembangn berlainan, Mohd Shafie berkata, suara generasi muda termasuk yang dibawa mahasiswa dalam perhimpunan sepatutnya tidak dihalang dan isu yang dibangkitkan perlu diselesaikan.

Ujar beliau, kerajaan harus mendengar suara generasi muda yang dibawa menerusi perhimpunan yang dianjurkan golongan tersebut.

"Ini demonstrasi, kita tidak boleh elak. Dari segi perlembagaanya, kita sudah luluskan bahawa demonstrasi dibenarkan, tetapi suara generasi muda bukan kita boleh halang. Kita tidak boleh kata jangan buat, tetapi kita perlu mendengar.

"Bukan hanya mendengar, tetapi menyelesaikan masalah, apa masalah yang mereka bangkitkan itu. Tidak ada guna kita boleh mendengar tetapi tidak atasi masalah apa yang mereka suarakan jika ia benar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan Gempur Rasuah yang disertai mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diadakan baru-baru ini.

Sementara itu, diminta mengulas dalam sebuah lagi perhimpunan Bangkit Sabahan yang mengaitkan nama beliau berkaitan isu rasuah, Mohd Shafie membidas dakwaan tersebut dengan menyatakan tiada bukti video melibatkannya.

"Saya sudah dipanggil (SPRM) dua minggu, saya ditahan siang malam tetapi tidak ada video saya terima duit, sudah terima duit tapi tidak cukup (merujuk video yang sedang tular).

"Orang cakap saja, ada RM1 bilion di sana, periksa di bank, masuk rumah saya, ada duitkah? tidak ada duit. Cakap saja (dakwaan orang). Tapi yang ini ada bukti, ada video," katanya.