MEMO tular pada 28 Disember lalu berhubung Pas yang akan mengadakan himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari 2025 telah mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi yang menghangatkan suhu politik tanah air.
Walaupun pada dasarnya ia kelihatan seperti satu bentuk usaha solidariti, himpunan itu telah mencetuskan perdebatan sengit apabila ramai beranggapan keprihatinan sesetengah pihak sekadar permainan wayang politik berbanding memperjuangkan nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di balik tirai besi.
Sentimen terhadap Najib demi meraih simpati itu juga dilihat sebagai alat atau taktik baharu digunakan oleh beberapa figura politik untuk memperkukuhkan sokongan terutamanya dalam kalangan orang Melayu.
Lebih membimbangkan, isu-isu seperti mengukuhkan kembali hubungan antara UMNO dan Pas serta ketegangan dengan DAP semakin memberi bayangan ketidakstabilan yang mungkin memberi impak besar kepada gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam berkata, himpunan itu turut memberi isyarat bahawa Najib digunakan sebagai simbol atau alat untuk menunjukkan kekuasaan politik dimiliki Pas dan BN.
“Saya percaya ini bukan sekadar strategi politik tetapi lebih kepada isyarat kekuasaan dalam landskap politik hari ini. Secara logik, kita sedar bahawa himpunan solidariti ini tidak akan membawa apa-apa hasil kepada Najib.
“Najib hanyalah alat yang digunakan untuk menunjukkan kekuasaan dua parti dalam blok masing-masing. Walaupun ada usaha untuk menggunakan Najib dalam pertarungan politik, hakikatnya, keputusan mahkamah tetap perlu dihormati dan tiada sesiapa mampu melawan perintah tersebut,” katanya kepada Sinar Premium. Abdul Aziz turut berpandangan bahawa tujuan Pas bukan sekadar untuk bersolidariti, sebaliknya lebih kepada memberi tekanan bagi memperkukuhkan hubungan dengan UMNO.
“Bersolidariti bersama Najib bukanlah fokus utama mereka, sebaliknya Pas lebih berminat untuk meraih keuntungan daripada matlamat yang lebih besar.
“Langkah ini dilihat sebagai strategi politik licik Pas untuk menambah rekah dalam komposisi Kerajaan Perpaduan, khususnya antara UMNO dan parti-parti lain yang mempunyai naratif berbeza,” katanya.
Tambahnya, dari segi kuasa politik, Pas mahupun UMNO jelas menunjukkan kekuatan dan keteguhan masing-masing dalam mempertahankan kedudukan serta pengaruh mereka.
“Baik dalam blok pembangkang mahupun kerajaan, kedua-dua parti tersebut menunjukkan kekebalan masing-masing. Bagaimanapun, saya yakin mereka tidak akan dikenakan sebarang tindakan daripada rakan gabungan.
“PKR dan DAP tidak akan berani membuang UMNO daripada komposisi kerajaan hari ini, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti-parti lain dalam blok pembangkang juga tidak mungkin ambil tindakan terhadap Pas,” jelasnya.
HENTI PERALAT NAJIB
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Dr Ariff Aizuddin Azlan berpendapat, sentimen Najib sebagai alat untuk meraih simpati yang digunakan oleh figura-figura politik tertentu untuk meraih sokongan orang Melayu perlu dihentikan.
“Sekiranya tidak dibendung, ia akan membangkitkan satu persepsi tidak sihat dalam kalangan orang ramai di mana institusi dan badan kehakiman negara ini seolah-olah tidak berfungsi dengan baik.
“Jika sebahagian besar orang terbeli dengan corak berkempen seperti ini, maka ia akan memecahbelahkan lagi struktur masyarakat di luar sana,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ariff Aizuddin berkata, perkara ini juga boleh menimbulkan keraguan tentang keikhlasan UMNO menjadi rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dari masa ke masa, kita menyaksikan beberapa siri pertelingkahan melibatkan ahli-ahli UMNO dan PH terutamanya melibatkan isu-isu sensitif seperti Melayu dan Islam.
**media[2951576]**
“Kelantangan beberapa pemimpin UMNO dan DAP di mana mereka saling bertukar hujah dengan intonasi kritikal akan menguatkan lagi andaian bahawa struktur kerajaan pimpinan Anwar sukar dipertahankan sehingga pilihan raya akan datang.
“Apabila keraguan ini semakin berasas, maka ia dilihat sebagai satu peluang keemasan oleh blok pembangkang untuk mengeksploitasi situasi ini.
“Oleh itu, jalan terbaik adalah pimpinan tertinggi UMNO dan PH perlu bersifat lebih keras untuk memastikan ahli-ahli mereka tidak sewenang-wenangnya melemparkan hujahan antara satu sama lain,” jelasnya.
Ariff Aizuddin juga tidak menolak dakwaan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa sebarang program bersama Pas, baik perhimpunan solidariti ataupun demonstrasi akan menimbulkan keraguan tentang kestabilan politik dan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
“Dakwaan itu berasas kerana perpecahan boleh berlaku dengan alasan sekecil-kecil ini.
“Walaupun UMNO dan Pas bukan di bawah payung atau koalisi politik yang sama, orang ramai akan mula mempersoalkan sejauh mana kestabilan sebenar Kerajaan Perpaduan jika kedua-dua parti itu terus berganding bahu dalam membahaskan sebarang isu,” katanya.