SHAH ALAM - Serangan sesama parti gabungan menunjukkan masih terdapat aspek perlu dibaik pulih sekiranya mahu mempertahankan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah kenyataan setiap parti gabungan perlu dipastikan tidak mengganggu proses dalaman demi kestabilan politik.
Menurutnya, berkomunikasi secara tertutup adalah lebih baik untuk mengelak sebarang spekulasi terhadap hubungan antara parti-parti gabungan.
“Ia bukan satu entiti yang didaftar. Oleh itu untuk mengukuhkan hubungan, masing-masing perlu saling menghormati kenyataan yang dibuat agar tidak mengganggu hubungan dalam gabungan itu,” katanya kepada Sinar Ahad.
Sivamurugan berkata, setiap parti perlu mencari pendekatan atau mekanisme berkesan dalam berkomunikasi, bukannya menggunakan media sebagai pengantara.
“Kestabilan politik bergantung kepada sejauh mana masing-masing boleh bersetuju dalam perkara-perkara berkepentingan rakyat. Jika ada yang tidak dipersetujui, ia boleh disalurkan melalui kaedah yang tidak mengganggu hubungan yang masih ‘longgar’ itu,” katanya.
Menurutnya, setiap hubungan atau usaha mengharmonikan Kerajaan Perpaduan memerlukan petunjuk untuk mencapai konsensus yang tidak menggugat kedudukan kerajaan.
“Bagi UMNO, penganjuran ‘Solidariti bersama Najib’ penting kerana beliau adalah bekas ketua parti dan negara.
“DAP perlu hormati keputusan dalaman UMNO walaupun membabitkan pembangkang jika solidariti itu membawa manfaat kepada parti gabungan,” ujarnya.
Pada Khamis, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng agar tidak mengeluarkan kenyataan boleh menyinggung perasaan mana-mana parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Zahid berkata, ‘zaman’ Guan Eng sudah berlalu dan beliau seharusnya meletakkan kepercayaan kepada barisan pemimpin yang lebih baharu dalam parti berkenaan.
Guan Eng sebelum ini dilaporkan mengingatkan UMNO bahawa sebarang program bersama parti pembangkang khususnya Pas akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.