SEREMBAN - Cadangan supaya kesepakatan mengenai pembahagian kerusi secara sama rata antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang adalah untuk memperkukuh kerjasama antara dua parti itu.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia merupakan pengiktirafan di atas kerjasama dan persefahaman yang baik antara parti tersebut dalam Kerajaan Perpaduan.
"Saya meletakkan asas 18-18 atas asas Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi dan pembahagian tersebut adalah wajar supaya kekuatan luar biasa dapat dihasilkan di Negeri Sembilan.
"Ia sekali gus memberi lebih keyakinan bukan sahaja kepada pemimpin bahkan rakyat di peringkat akar umbi.
**media[2942454]**
"Ini adalah bersefahaman yang sangat bagus dalam mempertahankan negeri ini," katanya selepas selesai Majlis Penyerahan Surat Penerimaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Bina Baharu di Dewan Kemas Jalan Pantai di sini pada Khamis.
Dalam pada itu katanya, UMNO sudah biasa bertanding sebagai parti tunggal BN dalam menghadapi pilihan raya dan tidak mempunyai masalah menghadapi pilihan raya secara solo tetapi keadaan suasana politik sekarang berubah.
"Bukan soal yakin atau tidak, ini soal menghormati kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi pilihan raya.
"Kerana itu saya beritahu Ketua Pembangkang Negeri Sembilan mesti berdiri atau perlu lebih realistik dalam membuat komen kepada parti lain.
"Jaga parti sendiri, jaga kawasan yang telah diberi mandat atau PN akan pupus di negeri ini," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Jalaluddin menyuarakan harapan rundingan kerusi antara BN dan PH akan membawa kepada pembahagian kerusi sama rata pada pilihan raya akan datang dengan BN mempertahankan kerusi sedia ada dan menyasarkan beberapa kerusi yang diduduki PN, terutama Serting, Gemas dan Bagan Pinang.
**media[2942453]**
Sementara itu, Jalaluddin turut memberitahu, presiden parti boleh melantik sesiapa sahaja sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, malah jawatan yang disandang beliau sekarang ini juga boleh digantikan dengan individu lain yang difikirkan sesuai oleh presiden.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, UMNO disaran untuk melantik bekas Menteri Kesihatan dan mantan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang baharu bagi menggantikan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Pada program berkenaan seramai 58 daripada 62 individu menerima sijil surat penerimaan bina rumah baru PPRS pada tahun ini dengan kos keseluruhan RM4.8 juta.