SHAH ALAM - Pemuda Pas menganggap tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang secara terbuka menganjurkan sambutan Krismas di pejabat kerajaan dan melibatkan penyertaan umat Islam adalah tidak wajar.
Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, tindakan itu bukan sahaja melanggar batas-batas akidah umat Islam, tetapi juga bertentangan dengan prinsip sensitiviti agama dalam negara.
Menurutnya, berdasarkan pandangan mufti dan garis panduan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti agama Islam, umat Islam diharamkan untuk terlibat secara langsung dalam perayaan agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.
"Hal ini telah dijelaskan secara tegas dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-818 dan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Tindakan Kor Ming ini jelas menunjukkan kealpaan dalam memahami prinsip-prinsip asas keharmonian agama yang seharusnya dihormati.
"Ia juga memberi isyarat salah kepada masyarakat umum, terutamanya umat Islam, mengenai batasan penyertaan dalam perayaan agama lain," katanya dalam satu kenyataan.
Lebih membimbangkan katanya, keadaan itu membuka ruang kepada polemik yang boleh menggugat keharmonian antara agama di Malaysia.
Justeru katanya, Pemuda Pas menyeru Kor Ming segera menghentikan segala bentuk program atau aktiviti melibatkan umat Islam dalam perayaan agama lain.
"Kami juga mendesak kerajaan memperkukuh garis panduan berhubung perkara ini dan memastikan semua menteri serta agensi kerajaan mematuhinya demi menjaga keharmonian dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
"Semoga tindakan tegas dapat diambil bagi mengelakkan perkara ini berulang pada masa hadapan," katanya.
Ujarnya, Pemuda Pas tetap komited untuk mempertahankan kesucian Islam dan menjaga sensitiviti umat Islam di Malaysia.
Sebelum ini tular video berdurasi satu minit memaparkan Kor Ming menyambut Krismas bersama kakitangan kementerian di bangunan KPKT.
Menerusi video itu, terdapat persembahan nyanyian Jingle Bells selain turut dihadiri beberapa kakitangan Islam pada video itu.