JOHOR BAHRU - Sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan di Johor perlu dilakukan secara menang-menang.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan yang akan dilakukan di peringkat negeri akan dibawa ke peringkat tertinggi bagi mencari penyelesaian terbaik untuk menghidupkan suasana politik yang harmoni.
"Dalam mana-mana parti politik, komponen paling mencabar dilakukan adalah pembahagian kerusi.
"Itu kita akan cuba cari jalan yang terbaik. Memanglah dia akan sampai (mencari penyelesaian) ke peringkat situasi menang menang.
"Kita tidak mahu menang dalam pembahagian kerusi tetapi kalah dalam pilihan raya, itu yang kita nak elakkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Amanah Johor 2024 di sebuah resort di sini pada Sabtu.
Hadir sama Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, tiada halangan untuk pimpinan negeri dan akar umbi parti untuk menyatakan pendapat dan keinginan termasuk membabitkan kerusi yang ingin ditandingi.
**media[2936401]**
Katanya, beliau menyahut seruan Amanah Johor namun ia perlu melalui kerjasama perundingan di peringkat negeri dan nasional.
"Berbeza pandangan serta pendapat itu tidak ada masalah.
"Namun, saya yakin pimpinan tertinggi (Kerajaan Perpaduan) akan mencari jalan penyelesaian yang terbaik," katanya.
Sebelum ini, Amanah Johor dilaporkan kerap menuntut penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor sebagai menyahut seruan penubuhan kerajaan di peringkat Pusat.
Gesaan berkenaan antara lain mahukan wakil parti itu serta Pakatan Harapan (PH) menjadi sebahagian kepimpinan kerajaan negeri, yang kini didominasi BN dengan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Selain itu, Amanah Johor juga mencadangkan kerusi Muda di Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa diserahkan kepada PH pada pilihan raya akan datang.