'Jangan jadi seperti Kamala Harris'

SEJAK kebelakangan ini, melihat beberapa keputusan politik dibuat Kerajaan Madani termasuk pelantikan beberapa tokoh kontroversi dalam dan luar negara untuk jawatan penting negara, ramai pemerhati politik mula mempersoalkan tindakan terbabit.

Biarpun beberapa alasan positif diberikan bagi menjustifikasi keputusan berkenaan, persepsi rakyat terhadap komitmen Pakatan Harapan (PH) itu dalam memerangi isu rasuah serta pelaksanaan tatakelola pentadbiran kerajaan lebih baik masih diragui.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat beberapa kes mahkamah membabitkan individu berprofil tinggi termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Rosmah Mansor dalam beberapa minggu ini turut menjadi perhatian.

**media[2935855]**

Kerajaan Perpaduan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tegas menekankan pentadbiran kerajaan sedia ada tidak pernah campur tangan dalam mempengaruhi keputusan badan kehakiman.

Persoalannya, sampai bila majoriti rakyat yang semakin celik politik akan terus kekal meyakini komitmen kerajaan menghapuskan korupsi?

Paling penting, mampukah Kerajaan Perpaduan mengimbangi pelaksanaan keputusan-keputusan politik kontroversi dengan kemampuan menterjemahkan risiko berkenaan menjadi hasil berbaloi untuk rakyat?

Bagi penganalisis politik dari Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, tindak-tanduk kerajaan sedia ada dalam melantik tokoh-tokoh kontroversi untuk mengisi jawatan politik penting tidak dinafikan satu keputusan misteri pada saat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) semakin hampir.

Jelasnya, meskipun tokoh-tokoh kontroversi yang sebelum ini terpalit kes salah guna kuasa dan rasuah terlepas daripada pertuduhan mahkamah, imej mereka hakikatnya masih tidak dianggap bersih dari sudut pandang umum.

“Bukankah lebih baik kerajaan pimpinan Anwar melantik pemimpin yang benar-benar bersih dan berintegriti.

“Saya percaya masih ramai lagi calon dalam dan luar negara yang kurang kontroversi layak untuk diketengahkan.

“Persepsi rakyat dilihat semakin terhakis apabila keputusan mahkamah melepaskan tanpa bebas (DNAA) atau melepaskan dan membebaskan beberapa individu berprofil tinggi dalam kes integriti dan rasuah beberapa minggu ini.

“Meskipun ada penekanan berlaku pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan badan kehakiman, di peringkat persepsi rakyat, sukar untuk Anwar kikis bahawa terdapat kemungkinan berlaku campur tangan kerajaan terhadap institusi mahkamah biarpun apa yang berlaku sekadar kebetulan,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Pada masa sama, Ahmad Fauzi tidak menafikan Anwar hakikatnya bergelut dalam memenuhi agenda membanteras rasuah atau mengukuhkan kestabilan politik Kerajaan Madani.

Bagaimanapun, beliau bimbang kecenderungan Anwar untuk kekal memenuhi kehendak politik parti-parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan akhirnya bakal menjauhkan penyokong berprinsip PH terhadapnya.

“Berdasarkan keadaan semasa, Anwar berisiko menerima nasib seperti bekas calon Parti Demokrat, Kamala Harris yang kalah pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) terbaru.

“Ini kerana punca kekalahan Naib Presiden AS itu disebabkan penolakan sokongan golongan liberal di kawasan seperti New York susulan banyak agenda pentadbiran Presiden semasa, Joe Biden bertentangan dengan prinsip mereka.

“Cuma Anwar masih bernasib baik kerana blok pembangkang agak lemah dan kurang bersatu. Jika tidak, persepsi keyakinan rakyat terhadap kerajaan sedia ada sudah pasti semakin merudum,” katanya.

RISIKO TERPAKSA 'DITELAN'

Bagaimanapun, Profesor Falsafah dan Pengajian Tamadun, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zaid Ahmad melontarkan pandangan berbeza.

Jelasnya, pada saat semua pihak mempersoalkan kegagalan Kerajaan Madani memenuhi janji manifesto PRU15, ramai terlupa bahawa kerajaan yang wujud pada ketika ini adalah kerajaan campuran dibentuk selepas pilihan raya dan tidak berasaskan mandat rakyat.

“Secara teorinya, semua manifesto dijanjikan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak boleh diambil kira. Ini kerana kegagalan satu parti tunggal memenangi pilihan raya membuktikan rakyat menolak semua janji manifesto parti-parti bertanding.

“Perlu diingat, kerajaan sedia ada perlu bertoleransi dengan suara-suara daripada setiap parti membentuk kerajaan. Jadi pertimbangan paling utama Anwar pada ketika ini adalah menjamin kestabilan politik berbanding memenuhi janji manifesto,” katanya.

Justeru, beliau percaya banyak keputusan politik kontroversi dibuat Anwar pada saat ini bukanlah atas kehendak peribadi beliau, tetapi risikonya terpaksa ‘ditelan’ demi kepentingan politik lebih besar.

Tambahan pula, Zaid mengakui Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sejak kebelakangan ini sering dijadikan ‘kambing hitam’ sekiranya satu keputusan politik atau mahkamah dianggap meragukan dari kaca mata rakyat.

“Kadangkala keputusan yang dibuat secara jelas bukan atas arahan atau campur tangan beliau, tetapi tetap dibebankan kepadanya. Ini susulan Anwar dianggap sasaran mudah untuk kritikan umum.

“Saya ambil contoh keputusan mahkamah melepaskan dan membebaskan atau DNAA terhadap beberapa tokoh berprofil tinggi baru-baru ini, tidak adil Anwar dijadikan punching bag.

“Umum seharusnya mengetahui fungsi badan eksekutif dan badan kehakiman adalah berasingan dan tidak berkait antara satu sama lain,” tegasnya.

LIMA AGENDA REFORMASI

Sementara itu, Pengerusi Kongres Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berpandangan kerajaan harus lebih serius dalam melaksanakan agenda reformasi dalam ruang lingkup pilihan raya, institusi dan kebebasan awam.

**media[2935857]**

Ujarnya, ini memandangkan tahap pelaksanaannya sepanjang dua tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan masih di tahap sangat minimum dengan Anwar perlu menunjukkan tekad politik lebih tinggi.

“Justeru, memasuki tahun 2025, Bersih menggesa lima agenda reformasi dapat dilaksanakan iaitu penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Pendanaan Politik, Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan pengembalian semula perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan blok pembangkang.

“Bagi penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, ia penting untuk menjadi platform buat ahli-ahli Parlimen rentas parti meneliti calon berkelayakan mengetuai institusi penting seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya dan sebagainya.

“Akta Pendanaan Politik pula berkaitan keperluan pendanaan politik secara telus dan sah, Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 penting bagi memastikan undang-undang mengawal proses pilihan raya mengikut tuntutan semasa, adil dan bersih.

“Terakhir MoU kerjasama kerajaan dan pembangkang perlu dimuktamadkan demi memastikan kedua-dua pihak saling mendukung pelaksanaan agenda reformasi direncana,” jelasnya.