SHAH ALAM - Sebagai bekas pemimpin negara, menjadi hak Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya beliau mahu menjadi mentor kepada calon Perdana Menteri menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bagaimanapun, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berpandangan, perkara itu tidak sepatutnya menjadi tumpuan utama Dr Mahathir memandangkan pentas politik negara pernah dikejutkan dengan peristiwa Langkah Sheraton.
“Selepas Langkah Sheraton, mungkin seeloknya perkara itu (jadi mentor) tidak jadi tumpuan beliau.
"Alhamdulillah Dr Mahathir dikurniakan umur yang panjang. Nak pisahkan beliau dengan politik memang sukar dari zaman Malayan Union sehingga sekarang.
**media[2918857]**
“Itu hak beliau sebagai rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan. Saya hormat dan merasa rendah diri dengan Dr Mahathir,” katanya ketika program Interviu yang dihoskan Penolong Pengarang Berita (Digital), Mohd Fazli Zainul Abidin di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kesediaan Dr Mahathir menjadi mentor kepada mana-mana individu yang berhasrat menjadi perdana menteri.
Negarawan itu yang pernah dua kali menjadi Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, pejabatnya sentiasa terbuka bagi yang berhasrat berbuat demikian.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi mengakui, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dilihat tidak terlalu menonjol berbanding kementerian lain yang mempunyai inisiatif tersendiri.
Ia kerana menurutnya, beliau selaku menteri yang memiliki latar belakang pengajian undang-undang perlu mempelajari banyak perkara baharu dari segi terma dan pengurusan alam sekitar.