SHAH ALAM - Kenyataan Presiden Terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu mengenakan tarif 100 peratus terhadap BRICS sekiranya ia berhasrat menggantikan penggunaan dolar dalam perdagangan antarabangsa dilihat hanya sekadar ugutan di mulut.
Pro Naib Canselor (Penyelidikan & Kemampanan), Universiti Sunway, Profesor Mahendhiran S Nair berkata, kenyataan Trump itu berkemungkinan besar tidak akan dilaksanakan.
“Dari sudut ekonomi, pasukan penasihatnya pasti tidak menyarankan beliau untuk meneruskan niat tersebut kerana ia akan turut memberi kesan buruk kepada rakyat dan perniagaan di AS yang terlibat dalam rangkaian bekalan global.
“Jika Trump melaksanakan 100 peratus tarif tersebut, ia juga bakal menyebabkan kenaikan harga dalam pelbagai sektor serta inflasi teruk susulan kebergantungan kepada negara luar seperti China untuk kebanyakan produk pengguna,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambah Mahendhiran, Malaysia tidak perlu berasa terlalu bimbang dengan kenyataan Trump berikutan masih tiada butiran lanjut tentang tarif yang disebut dan ia berkemungkinan hanya akan berlaku jika BRICS menggantikan penggunaan dolar sebagai mata wang perdagangan antarabangsa.
“Adalah sukar untuk menggantikan dolar kerana begitu banyak perbezaan dalam kalangan negara BRICS, selain itu tarif ‘balas dendam’ dari negara lain ke atas produk AS akan mengakibatkan kesan buruk kepada ekonomi AS.
“Jangkaan saya, AS, Kesatuan Eropah (EU) dan BRICS boleh berunding untuk perjanjian perdagangan yang akan memenangkan semua pihak,” ujarnya.
Bagaimanapun, sekiranya ugutan tarif itu terlaksana, jelasnya, Malaysia selaku negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam pakatan ekonomi itu pasti akan terkesan dari sudut ekonomi baik di peringkat domestik atau antarabangsa.
“Tentang segmen ekonomi yang mungkin terkesan jika Trump mengenakan 100 peratus tarif, saya menjangkakan beliau akan menyasarkan sektor teknologi, pembuatan dan elektrik dan ekonomi (E&E) yang mana ia penting untuk Malaysia terus menjadi pengeluar utama semikonduktor dunia,” katanya.
PELUANG TERBAIK
Ujarnya, di sebalik ketidaktentuan ini, ia sebenarnya peluang terbaik meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara BRICS untuk menjadi blok perdagangan besar seperti Kesatuan Eropah (EU).
“Malah selain kerjasama dalam BRICS yang dianggotai Rusia, China, India, Brazil, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu, Malaysia harus fokus terhadap perkembangan ASEAN terutama bagi memperkasa rangkaian kerjasama serantau.
“Malaysia juga boleh menggunakan kesempatan sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 untuk melebarkan pengaruh kesatuan itu dalam perbincangan ekonomi antarabangsa termasuk yang melibatkan pentadbiran baharu AS di bawah Trump,” katanya.
Sementara itu, menjawab persoalan tentang kemungkinan BRICS memperkenalkan mata wang baharu atau menyokong mata wang lain sebagai alternatif kepada penggunaan dolar dalam perdagangan antarabangsa, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Carmelo Ferlito berkata, setakat diketahui ia hanya sekadar perbincangan.
“Untuk mencipta mata wang baharu adalah satu proses yang panjang, malah boleh mengambil masa beberapa dekad, seperti yang berlaku di Eropah dengan Euro, yang didahului oleh European Currency Unit (ECU) sebagai mata wang transaksi, digunakan hanya untuk transaksi perdagangan antarabangsa dan bukan untuk kehidupan harian.
“Ia memerlukan usaha besar dalam penyelarasan perbankan pusat serta pengorbanan terhadap kedaulatan monetari,” katanya.
Tambah Carmelo, masih terlalu awal untuk membincangkan secara spesifik kesan terhadap Malaysia jika Trump mengenakan 100 peratus tarif terhadap BRICS.
“Untuk menilai kesan tertentu kita perlu mengetahui butiran langkah tersebut, 100 peratus tarif untuk produk mana? 100 peratus tidak bermakna apa-apa jika kita tidak tahu tentang semua butiran yang diperlukan.
“Secara keseluruhan, tarif adalah buruk untuk kedua-dua pihak kerana ia akan mengurangkan peluang perdagangan dan mengurangkan akses kepada produk untuk pengguna serta menjadikan produk lebih mahal,” ulasnya.