BANGI - Pas menuntut janji Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengenai isu penarikan kad perakuan media Jabatan Penerangan (Japen) yang dikenakan terhadap wartawan Harakah Daily, tahun lalu.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu telah memberi jaminan secara bertulis kepadanya untuk mempertimbangkan perkara berkenaan.
"Tahun lepas sudah ditarik balik pas media dan Menteri Komunikasi memberi jaminan secara bertulis kepada saya akan mempertimbangkan untuk diberikan semula tetapi sampai ke hari ini tidak berlaku.
"Kita menganggap tidak ada peluang untuk mendapatkan kad media itu semula kecuali kerajaan bertukar satu hari nanti," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Media dan Pempengaruh bersama Pas, di sini pada Selasa.
Sebelum ini media pada 9 November 2023 melaporkan, Fahmi dalam sidang Dewan Rakyat memberi jaminan akan berbincang dengan Japen berhubung tindakan membatalkan kad perakuan media wartawan lidah rasmi Pas itu.
Beliau dilaporkan berkata, telah mengambil maklum mengenai permohonan rayuan pihak Harakah Daily untuk memperoleh semula akses kad terbabit.
Tindakan menarik balik kad perakuan berkenaan dipercayai susulan penyiaran artikel memaparkan foto Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bendera Israel.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menegaskan, tindakan sedemikian menunjukkan kerajaan seolah-olah mahu mengekang kebebasan media dan bersuara rakyat.
"Sedikit demi sedikit kerajaan pada hari ini ke arah budaya draconian, yang mana itu menandakan mereka takut dengan kebebasan media.
"Kita akan bentuk satu pasukan (penerangan) dan selaraskan naratif dalam masa tiga tahun, saya yakin rakyat tidak akan ada pilihan lain kecuali menolak Pakatan Harapan dan Barisan Nasional," ujarnya.