Berebut kuasa, jangan sampai rakyat jadi korban

BELUMPUN sebulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung kini ada desas-desus angin perubahan kemungkinan melanda berikutan pergolakan politik di Semenanjung.

Pada 26 September lalu, seramai 749,083 rakyat Sabah keluar mengundi babitkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jumlah itu mencatat peratusan keluar mengundi sebanyak 66.61 peratus.

Dengan berhadapan dengan risiko Covid-19 yang ketika itu mula menular di Sabah, namun demi menjalankan tanggungjawab rakyat Sabah akur memilih calon di kawasan masing-masing.

Pengundi di kawasan zon merah seperti di Lahad Datu, Tawau dan Sandakan berhadapan dengan risiko lebih tinggi.

Seperti yang dijangka, walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensyaratkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat namun angka jangkitan naik mendadak sebaik sahaja PRN tamat.

Angka kes baharu Covid 19 pada hari penamaan calon, iaitu pada 12 September hanyalah 24 orang di Sabah dengan jumlah keseluruhan kes baharu 58 orang seluruh negara.

Bagaimanapun angkanya menunjukkan kenaikan mendadak dan semalam jumlah kes baharu di Sabah mencecah 304 dengan jumlah keseluruhan kes baharu 589 orang seluruh negara.

Ini menunjukkan betapa besarnya pengorbanan rakyat Sabah dalam memastikan calon pilihan dapat membela nasib mereka.

Selain itu, peruntukan yang diperlukan untuk melaksanakan pilihan raya bukannya sedikit.

Dalam kesempitan dan pelbagai kekangan kewangan yang dihadapi, kita terpaksa berbelanja besar.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom menyatakan peruntukan PRN Sabah ke-16 dianggarkan RM186 juta.

Kos tersebut termasuk 30,540 petugas yang dilantik bagi mengendalikan proses PRN serta melibatkan pengurusan 741 tempat mengundi yang mengandungi 2,540 saluran dan 56 pusat mengundi awal dengan 73 saluran.

Sekiranya peralihan kuasa itu benar-benar berlaku, PRN Sabah yang yang dibuat sebelum ini sia-sia sahajalah.

Lebih malang, suara rakyat yang diperoleh hasil daripada pesta demokrasi itu dipinggirkan begitu sahaja. 

Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, terdapat kemungkinan kerajaan Sabah pun akan turut berubah sekiranya kerajaan Persekutuan berubah.

“Pergolakan parti di Semenanjung mewujudkan ketidakstabilan politik di negeri ini. 

Ini sebab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beralih arah kepada parti yang membentuk kerajaan baru.

“Saya juga percaya kemungkinan Ahli Parlimen Warisan Plus dan sebahagian Ahli Parlimen UMNO akan memberi sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mungkin 100 peratus menyokong disebabkan ‘survival’ politik masing-masing,” ujarnya.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan situasi isu ketidakstabilan bilangan kerusi yang tidak menyakinkan di bawah kepimpinan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Beliau (Hajiji) disifatkan seorang pemimpin yang baik tetapi kita perlu akui, beliau berhadapan isu ketidakstabilan bilangan kerusi iaitu 38 kerusi yang angkanya boleh berubah,” katanya.

Dapat tempat di hati rakyat

Meskipun kerajaan Warisan Plus ‘karam’ pada PRN Sabah ke-16 ia tidak menjanjikan parti tersebut akur dengan kekalahan sebaliknya parti itu mencipta kemenangan sendiri apabila memiliki jumlah kerusi paling banyak. 

Romzi berkata, sebenarnya parti Warisan mendapat tempat di hati rakyat jika dilihat pada undi popular.

“Warisan sewajarnya masih mendapat tempat di hati rakyat namun berlaku kesilapan pemilihan calon tidak popular seperti di beberapa lokasi antaranya di Matunggong dan Pitas.

“Pada PRN lalu, DUN Matunggong dimenangi Parti Bersatu Sabah selepas menewaskan calon Sazalye Donol Abdullah (PKR) manakala di DUN Pitas tewas di tangan parti Bebas. 

"Kekalahan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada jumlah kerusi dimenangi Warisan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tidak akan gentar untuk berhadapan dengan cabaran dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah walaupun tidak berjaya membentuk kerajaan pada PRN Sabah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun ketika dihubungi berpendapat perubahan kerajaan Sabah akibat pergolakan di Semenanjung masih terlalu awal untuk dijangka.

"Pergolakan di Semenanjung masih terlalu awal dan kita tidak tahu kesannya kepada Sabah," katanya.

ADUN Karanaan ini merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan Kedua.

Mahu perubahan segera

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, yakin UMNO akan terus melangkah ke hadapan dan tegas dengan pendirian parti itu membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN).

Dr Awang dari Universiti Malaya berkata, parti itu mahu perubahan segera dan ternyata ia adalah isyarat jelas dari Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO.

“Mereka (UMNO) bukan kecil hati atau tersinggung, sebaliknya mahukan perubahan segera dan pastinya meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN.

“UMNO juga bukan budak-budak yang suka merajuk atau untuk dipujuk kembali. Saya berpendapat UMNO kali ini sangat tegas setelah mendengar suara akar umbi. 

“Kerjasama yang dilihat tidak menguntungkan parti itu terutama ketika PRN Sabah baru-baru ini apabila isu pengagihan kerusi dilihat tidak adil. 

Jika perkara itu berulang kembali ketika pilihan raya akan datang, UMNO akan terkubur, tidak relevan apabila kerusi dikurangkan,” katanya.

Beliau juga menambah, bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru dibentuk boleh tumbang sekiranya UMNO menarik sokongannya kepada PN.

“Pergolakan politik di Semenanjung akan mempengaruhi hubungan yang sudah tegang antara UMNO Sabah dan PN.

“Sekiranya UMNO benar menarik diri daripada PN, maka kerajaan Sabah akan tumbang. Ini boleh membuka jalan kepada UMNO untuk bekerjasama dengan Warisan bagi menubuhkan kerajaan baru,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya perdana menteri bukan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), pemimpin PPBM Sabah akan meninggalkan parti itu dan kembali kepada UMNO. 

Sementara itu para penganalisis lain berpendapat polemik politik yang hangat diperkatakan masih dalam pemerhatian mereka dan sukar untuk dijelaskan apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.

Mereka sepakat mahu menunggu keputusan UMNO terlebih dahulu sama ada benar tarik diri daripada PN atau ada rundingan disebaliknya. 

Ini sebab keputusan UMNO menarik diri daripada menyokong PN boleh membuka peluang kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merealisasikan impiannya untuk membentuk kerajaan baharu.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Sabah (Warisan), Assaffal P Alian percaya kedudukan ketua menteri GRS turut terjejas sekiranya berlaku perubahan politik di Semenanjung.

“Politik di sini pasti akan berubah, bagi Warisan kita melihat perkembangan semasa dan mengikut segala keputusan pucuk pimpinan tertinggi,” katanya. 

Selain itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian Warisan Lahad Datu berpendapat agar peranan dan kuasa mutlak Institusi Raja-raja Melayu yang sebelum ini dikehendaki bertindak atas nasihat kabinet lebih bersifat neutral.

“Berdasarkan konsep Raja Berperlembagaan, YDPA diberi kuasa memerintah Persekutuan di mana baginda dikehendaki bertindak atas nasihat Kabinet.

“Sewajarnya Institusi Raja lebih bersifat neutral dan terkecuali daripada sebarang politik. Mungkin sudah tiba masanya pengasingan kuasa itu berlaku. Kuasa lantikan perdana menteri tidak perlu terikat dengan sentimen dan pertimbangan kepartian,” ujarnya.

Lompat parti perkara biasa

PRN Sabah dilaksanakan pada 26 September lalu, secara teknikal, Warisan memenangi 23 kerusi sementara DAP, yang menggunakan logo Warisan, menang enam kerusi.

Secara keseluruhan, pakatan Warisan Plus, yang juga merangkumi PKR dan Upko, memenangi 32 kerusi.

PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri menang di kerusi Inanam dan Api-Api sementara hanya berjaya mengekalkan satu kerusi sahaja iaitu DUN Kadamaian.

Dalam pada itu, Dr Romzi menambah, kerajaan Warisan tumbang berpunca daripada penurunan peratusan pengundian selain berlaku pecah undi di setiap kawasan yang bertanding. 

Untuk rekod, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu parti gabungan yang menang, memenangi 38 kerusi.

Namun, tidak ada satu partipun yang memiliki kerusi lebih daripada Warisan.

Berdasarkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya, UMNO hanya memenangi 14 kerusi sementara Bersatu mempunyai 11 kerusi.

Parti Bersatu Sabah (PBS) sebanyak tujuh kerusi dan STAR memenangi enam kerusi. 

Jika dilihat perbezaan kedua-dua gabungan PN dan Warisan Plus hanya berbeza enam kerusi sahaja tidak termasuk parti Bebas tiga kerusi.  

Angka itu mustahil tidak boleh berubah sekiranya Anwar mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Malahan budaya lompat parti di Sabah bukan satu fenomena baharu yang perlu disangkal.

ARTIKEL BERKAITAN
Mohd Shafie teruskan perjuangan Warisan Plus

Laluan Anwar berliku, Ku Li potensi PM interim

Wujudkan kerajaan Prihatin libat pembangkang: Pandikar Amin

Gantung Parlimen, tumpu usaha sekat Covid-19

Penamat perlumbaan Anwar jadi PM