BN bawah Ahmad Zahid akan setia bersama PH

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dilihat tetap teguh dalam pendirian mereka untuk kekal bersama pakatan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, biarpun terdapat usaha pihak tertentu memujuk parti itu keluar dengan menawarkan jawatan Perdana Menteri.

Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berkata, kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini memberi gambaran bahawa BN dengan sokongan Pakatan Harapan (PH), akan meneruskan kerjasama politik pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Sebaik Kerajaan Madani ditubuhkan, BN telah menunjukkan keserasian dalam pentadbiran bersama PH. Ahmad Zahid sendiri beberapa kali menegaskan pentingnya kerjasama ini untuk memastikan kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran negara.

“Sekiranya dilihat pada pola atau corak politik sepanjang tempoh ini, Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan telah menunjukkan toleransi tinggi antara parti-parti komponen kerajaan, termasuk dalam aspek perkongsian kempen dan sokongan jentera.

“Selain itu, kenyataan-kenyataan yang lahir daripada pucuk pimpinan PH turut menunjukkan hasrat untuk meneruskan kerjasama strategik ini sehingga PRU16. Oleh itu, sukar untuk membayangkan BN bertanding secara bersendirian,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, kenyataan Anwar untuk memastikan tiada pertindihan kerusi antara PH dan BN memberi indikasi bahawa komitmen serta kerjasama antara BN dan PH lebih menjurus kepada kesinambungan pakatan politik menjelang PRU16, sekali gus menolak kemungkinan BN keluar daripada gabungan ini.

Langkah ini katanya, bukan sahaja memastikan kestabilan politik dan mengukuhkan kedudukan BN di bawah kepimpinan Ahmad Zahid malah dalam tempoh hampir dua tahun, Ahmad Zahid dan BN menerima layanan politik yang harmoni daripada PH.

“Perkongsian kerusi semasa PRN lepas dan peranan Ahmad Zahid yang tidak dipersalahkan atas kelemahan kerajaan terdahulu menunjukkan PH tidak memusuhi BN sebagaimana pernah dialami dalam kerjasama politik yang lebih dingin sebelum ini.

“Keadaan ini, bersama janji Anwar untuk mengelakkan pertindihan kerusi, menandakan bahawa Ahmad Zahid dan BN berkemungkinan besar akan terus bersama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Pada Ahad, Ahmad Zahid mendedahkan terdapat usaha untuk memujuk supaya BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan untuk membentuk kerajaan baharu.

Sebagai balasan, parti itu turut ditawarkan jawatan perdana menteri jika bersetuju dengan perancangan tersebut.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memperincikan lebih lanjut pihak yang membuat tawaran tersebut ketika berucap merasmikan Konvensyen BN Wilayah Persekutuan 2024 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Anis turut berpandangan, keputusan BN untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan menunjukkan UMNO kini selesa bersama gabungan ini, selama mana mereka memegang peranan yang signifikan dalam struktur pentadbiran.

“Kepimpinan UMNO di bawah Ahmad Zahid kelihatan lebih pragmatik dalam pendekatan politik mereka. Ini menunjukkan bahawa UMNO memahami keperluan untuk beradaptasi dengan landskap politik yang semakin kompleks.

“Namun, keputusan untuk bergerak secara bersendirian atau terus bekerjasama dengan PH bukan hanya bergantung kepada keberanian politik, tetapi juga kebijaksanaan strategi untuk memastikan kelangsungan politik parti dalam persaingan yang semakin rencam.

“UMNO perlu memastikan kebolehmenangan kerusi-kerusi yang mereka tandingi serta kebolehan untuk kekal relevan dalam mana-mana gabungan kerajaan pasca PRU akan datang,” ujarnya.

Jelasnya, jika BN memilih untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan bertanding secara berasingan dalam PRU akan datang, implikasi politiknya amat besar.

“Cabaran utama bukan hanya untuk menghadapi sentimen kritikal pengundi terhadap BN tetapi juga menghadapi kesukaran struktur sistem pilihan raya ‘first-past-the-post’ (FPTP). Dalam sistem ini, setiap peratusan undi yang hilang akibat pecahan undi akan memberi kesan besar kepada peluang kemenangan.

“Prestasi PH dalam beberapa PRN dan PRK antara PRU14 hingga sebelum PRU15 menunjukkan betapa mudahnya sebuah gabungan politik boleh terjejas jika gagal mengekalkan perpaduan atau melakukan perhitungan politik yang tepat. Dalam konteks ini, bertanding secara bersendirian berisiko merendahkan peluang BN untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan pasca PRU,” katanya.

Masih terlalu awal

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Jamaie Hamil berpendapat, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada BN akan bertanding dalam pilihan raya secara berasingan memandangkan PRU16 akan diadakan dalam masa tiga tahun lagi.

“Dalam tempoh tersebut, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Jika hari ini BN mengatakan kekal, tidak mustahil dua tahun lagi keadaan berubah. Untuk tempoh ini, UMNO bergantung kepada beberapa faktor, termasuk kemungkinan berlaku pertukaran kepimpinan dalam parti.

“Selain itu, kekuatan UMNO juga bergantung kepada bagaimana strategi yang mereka laksanakan untuk memulihkan semula parti. Walaupun proses pemulihan itu sukar, saya melihat ada usaha-usaha ke arah memperbaiki parti dan itu akan menentukan sama ada UMNO bakal bertanding sendiri atau semakin lemah,” katanya.

Tambah Jamaie, reaksi ahli dan penyokong serta penerimaan masyarakat terhadap UMNO adalah faktor utama yang akan mempengaruhi keputusan parti itu sama ada untuk kekal atau keluar dalam pakatan, terutamanya menjelang PRU.

“Saya melihat sedikit kemajuan positif dengan kemenangan mereka di PRK Nenggiri dan Mahkota, yang menunjukkan wujudnya proses pemulihan. Jika penerimaan masyarakat masih kurang meyakinkan, kemungkinan besar UMNO akan kekal dalam pakatan, bergantung kepada siapa yang menjadi presiden.

"Sekiranya presiden kekal, sukar bagi UMNO untuk bertanding secara bersendirian. Namun, jika kepimpinan berubah, mungkin dasar tersebut juga akan berubah.

"Oleh itu, dua faktor ini merupakan indikator utama yang akan menentukan sama ada UMNO akan keluar atau kekal dalam PH menjelang PRU16,” katanya.