4 pemimpin muda DAP pertahan Anthony Loke, balas 'serangan' Akmal Saleh

SHAH ALAM - Empat pemimpin Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyelar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh susulan kenyataannya mendakwa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebagai seorang yang ‘sombong’.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh, Ketua Biro Dasar Awamnya; Jason Ng, Timbalan Setiausaha Publisiti yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu; Pang Sock Tao, Naib Ketua Kebangsaannya; Raja Ahmad Iskandar Fareez dan Setiausaha Kebangsaannya, Lin Chun Weng.

Menurut kumpulan itu, serangan terhadap Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP itu memperlihatkan sisi tidak matang Dr Akmal dalam berpolitik.

“Beliau sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan sepatutnya bertindak lebih rasional apabila berpolitik kerana beliau bertanggungjawab ke atas pembangunan luar bandar, pertanian serta keterjaminan makanan di Melaka.

“Dr Akmal harus memberi tumpuan kepada tugas hakiki. Namun jarang sekali kita dengar beliau mengemukakan pandangan tentang tugas tersebut.

“Oleh itu, jika tidak berminat untuk menjalankan tugas dan hanya ingin meraih publisiti politik murah dengan mengkritik pemimpin rakan parti, lebih baik menarik diri dari kerajaan serta menjadi seorang ahli dewan ‘backbencher’,” kata kumpulan pemimpin itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, sebagai pemimpin muda, Dr Akmal perlu menghormati pemimpin tertinggi daripada parti lain yang sebahagiannya terdiri daripada Kerajaan Perpaduan.

Kumpulan itu menambah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkenaan perlu diingatkan bahawa tugas seorang pemimpin adalah menyatukan rakyat walaupun berbeza pangkat sama ada tinggi atau rendah.

“Kestabilan politik dan sosial negara adalah elemen utama bagi memastikan keberkesanan usaha kerajaan dalam memulihkan ekonomi serta membawa kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia,” jelas kumpulan tersebut.

Tambahnya, Dr Akmal sewajarnya memfokuskan kepada perjuangan membina negara, bukannya mengejar nama.

DAPSY juga mempersoalkan, apakah niat sebenar Dr Akmal mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan.

“Jelas ini bukan kali pertamanya mendatangkan kontroversi yang keterlaluan di ambang keharmonian Kerajaan Perpaduan.

“Kami khuatir, kalau pemimpin muda seperti beliau hanya sibuk mengejar nama, jadi tugas untuk membina negara ini perlu diserahkan kepada siapa?,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga menyokong kenyataan bahawa menteri dalam Kabinet perlu memberikan tumpuan kepada isu rakyat dan bukan melayan publisiti murahan.

Tambahnya, kepimpinan Anthony Loke yang melaksanakan dasar baharu seperti pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 serta dasar pendigitalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu dipuji kerana telah banyak memudahkan hidup rakyat.

“Kami ingin menegaskan bahawa melaksanakan dasar sebegini lebih membawa manfaat kepada rakyat dan negara berbanding membalas retorik kosong Akmal,” ujarnya.