Titah Adendum terus jadi duri dalam daging dan isu sensitif

NASIB bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini dipenjarakan, sekali lagi menjadi tumpuan umum.

Ia susulan isu pertikaian Titah Adendum atau tuntutan tambahan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengarahkan Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya selama enam bulan sebagai tahanan di rumah, kembali dibangkitkan dalam sidang Parlimen.

Kesamaran isu Titah Adendum itu hakikatnya sudah menjadi persoalan umum yang berlarutan sejak perkara itu didedahkan oleh Najib sendiri melalui peguamnya.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman Titah Adendum Al-Sultan Abdullah di Mahkamah Tinggi Putrajaya pada 1 April lalu.

Meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kemudiannya memfailkan afidavit menyokong semakan kehakiman Najib, namun isu berkenaan masih tidak diperjelaskan oleh Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tuntas.

Terkini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said enggan menjawab persoalan mengenai kewujudan Titah Adendum itu walaupun diasak Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertubi-tubi.

Jelas Ahli Parlimen Pengerang itu, persoalan itu berserta kandungan akta berkaitan tahanan di rumah bukan di bawah bidang kuasanya dan hanya boleh dijawab oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Azalina turut menegaskan, beliau tidak terlibat dalam Jemaah Lembaga Pengampunan Diraja, justeru tidak tahu menahu mengenai perihal Titah Adendum.

Jawapan Azalina itu sudah pasti mendukacitakan sebahagian besar penyokong Najib, kerana beliau selama ini dianggap pemimpin UMNO paling lantang memperjuangkan isu pembebasan Najib.

Menjawab peranan Azalina di dalam Lembaga Pengampunan Diraja, Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar menegaskan, boleh jadi Azalina tidak berada di dalam barisan jemaah berkenaan.

Ujarnya, ini kerana Perkara 42 (5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Lembaga Pengampunan Diraja Wilayah Persekutuan terdiri daripada Peguam Negara, Menteri Wilayah Persekutuan dan tidak lebih tiga anggota lain yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Melainkan Azalina termasuk dalam salah seorang tiga anggota lain dilantik Agong, secara dasarnya beliau memang tidak terlibat dengan urusan Lembaga Pengampunan Diraja.

“Bagaimanapun, situasi itu bukan tiket untuk Azalina menyatakan beliau tidak tahu-menahu mengenai Titah Adendum. Ini kerana saya percaya segala keputusan dibuat Lembaga Pengampunan Diraja masih perlu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Cuma saya fikir Azalina mungkin enggan menjelaskan status kewujudan Titah Adendum disebabkan Jemaah Menteri telah memutuskan Menteri Dalam Negeri sebagai individu bertanggungjawab menguruskan isu berkenaan,” katanya kepada Sinar Premium.

Di sebalik teka-teki kewujudan Titah Adendum yang masih belum terjawab, Khairil Azmin percaya isu berkenaan tidak sewajarnya dijadikan polemik berpanjangan oleh mana-mana pihak berkepentingan.

Ini kerana beliau berpandangan, kegagalan isu Titah Adendum diperjelaskan secara telus kepada rakyat dibimbangkan akan menjejaskan integriti institusi diraja.

“Ada kemungkinan isu Titah Adendum masih samar-samar disebabkan peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Tahanan Dalam Rumah masih belum digubal, sekali gus menyukarkan kerajaan untuk memenuhi titah Agong sekiranya ia didedahkan kepada umum.

“Bagaimanapun, kerajaan masih perlu telus dalam menyatakan sama ada wujud atau tidak Titah Adendum berkenaan bagi mengelakkan persepsi negatif rakyat berpanjangan,” jelasnya.

JEJAS KEPERCAYAAN AKAR UMBI

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah berpandangan, polemik isu Titah Adendum yang dibiarkan berpanjangan akan memberi impak sangat buruk terhadap kepercayaan akar umbi parti.

Menurutnya, akar umbi UMNO masih percaya Titah Addendum itu wujud, berdasarkan kenyataan afidavit menyokong tuntutan Najib yang difailkan Ahmad Zahid dan Wan Rosdy sebelum ini.

**media[2879196]**

“Selagi tiada pihak nafi, selagi itu isu Titah Adendum akan berlarutan. Mungkin ada pihak berwajib berkata perkara itu khabar angin, tetapi mengapa pihak kerajaan langsung tidak pernah mengeluarkan sebarang penafian terhadapnya?

“Bagi saya, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab untuk menyatakan sama ada Titah Adendum itu benar-benar wujud atau tidak. Kalau isu ini tidak selesai segera, sokongan dan kepercayaan akar umbi UMNO terhadap kerajaan sedia ada akan terkesan.

“Bagaimanapun, saya yakin mereka (kerajaan) tidak akan berani menjawabnya atas sebab-sebab yang mereka sendiri tahu jawapannya,” tegasnya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo mengingatkan sebilangan besar pemimpin UMNO yang kini memegang jawatan penting dalam Kerajaan Perpaduan supaya berlaku jujur kepada diri sendiri.

**media[2879197]**

Ujarnya, sebahagian pemimpin UMNO yang sebelum ini lantang memperjuangkan nasib Najib perlu membuktikan kata-kata mereka kepada akar umbi parti dan tidak sekadar memberi maklum balas yang tidak jelas berhubung status Titah Adendum.

“Titah Adendum ini merupakan titah tambahan Agong. Justeru, kerajaan Madani dan pemimpin UMNO yang memegang jawatan menteri tidak boleh bersikap dwistandard dalam melaksanakan titah diraja.

“Tidak bolehlah bila hendak tubuh Kerajaan Perpaduan, titah Yang di-Pertuan Agong dijadikan pedoman sepenuhnya, tetapi bila ada Titah Adendum yang mungkin beri impak negatif kepada kerajaan, perkara itu seolah-olah cuba disembunyikan pula.

“Paling penting, perjelaskan sahajalah sama ada Titah Adendum itu wujud atau tidak. Rakyat sebenarnya sudah muak dengan sikap kerajaan semasa yang sering berdolak-dalik, lebih-lebih lagi berkenaan isu penting seperti titah diraja,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin ketika sesi penggulungan di Parlimen pada Khamis menegaskan bahawa adendum diraja yang dikatakan memerintahkan penahanan rumah bekas perdana menteri Najib Abdul Razak hanyalah khabar angin (hearsay) sahaja.