Rapatkan ahli, imbangi pengaruh Pas

SHAH ALAM - Cabaran utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas pemilihan ialah merapatkan semula perpaduan dalam kalangan ahli parti dan mengimbangi pengaruh Pas dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, tindakan berkenaan perlu kerana Bersatu mengalami perpecahan semasa pemilihan susulan dakwaan wujudnya kem pro pemimpin tertentu seperti pro Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurutnya, masalah berkenaan juga menyebabkan ramai ahli Bersatu termasuk yang dipimpin bekas Bendahari PN Pahang, Datuk Roslan Hassan dan mantan Ketua Bahagian Tenggara, Hassan Rasid bertindak keluar parti.

“Jadi cabaran terbesar Bersatu selepas pemilihan ialah untuk merapatkan semula perpaduan dalaman parti selepas pemilihan dan mengimbangi pengaruh dan kekuatan rakan sekutunya, Pas dalam koalisi PN.

“Sekiranya Bersatu gagal memulihkan kembali perpaduan dan kekuatannya, maka tidak mustahil timbul pelbagai masalah lain dalam PN seperti wujudnya budaya ‘abang besar’,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Dalam pada itu, Hisommudin melihat keputusan pemilihan Bersatu kali ini hanya melengkapkan ‘pasukan’ sedia ada.

Ujarnya, keputusan berkenaan juga tidak banyak membantu PN menghadapi cabaran dan perubahan gelombang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

“Justeru, saya melihat untuk menghadapi PRU16 nanti Bersatu perlu memiliki satu pasukan berpengalaman dan berpadu tenaga bagi mengekalkan rentak pencapaian cemerlang PN menang 74 daripada 222 kerusi Parlimen dalam PRU15 lalu,” katanya.

Bagi Penganalisis Sains Politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Adibah Yasmin Alias, keputusan pemilihan berkenaan akan memperkukuhkan lagi Bersatu susulan gandingan pemimpin berpengalaman luas seperti Muhyiddin, Hamzah serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Adibah Yasmin percaya kemenangan pasukan kompromi termasuk Hamzah, Ronald, Mohd Radzi dan Ahmad Faizal yang ideanya dicetuskan oleh Muhyiddin mampu mengimbangi sekiranya wujud pemberontakan yang cuba dicetuskan oleh kumpulan kalah dalam pemilihan Bersatu kali ini.

“Sekiranya tiada pergolakan daripada kem Mohamed Azmin, saya yakin Bersatu mampu bangkit semula dan menstabilkan parti sebagai persiapan menghadapi PRU16 nanti.

“Cuma saya berpandangan pucuk pimpinan tertinggi Bersatu tidak boleh meminggirkan pemimpin kem Mohamed Azmin kerana mereka mempunyai pengaruh dan kekuatan tersendiri untuk meraih undi pengundi bukan Melayu berdasarkan pengalaman ketika berada dalam PKR sebelum ini,” kata beliau.

Ketika ditanya sama ada pemilihan kali ini berpotensi menyebabkan krisis dalaman, Adibah Yasmin berkata, masih terlalu awal untuk menilai sama ada berlaku perpecahan lebih besar dalam kalangan pemimpin utama parti itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan perwakilan parti mengekalkan Ronald sebagai Naib Presiden adalah strategi bijak kerana pengaruh dan pengalaman beliau amat diperlukan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah tahun depan.

Pada pemilihan tersebut, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dipilih Ketua Srikandi Bersatu dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham secara rasmi dipilih sebagai Ketua Armada Bersatu bagi tempoh 2024-2027.