SHAH ALAM - Kerajaan perlu mendapatkan penjelasan daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung sekatan terhadap enam syarikat berpangkalan di Malaysia kerana dakwaan ‘bantu’ perang Rusia.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, kenyataan bahawa barang keluaran yang dihantar adalah untuk bekalan perang adalah tuduhan berat yang memerlukan siasatan lanjut.
Menurutnya, jika untuk kegunaan sendiri, AS tidak boleh bertindak sedemikian kerana Malaysia tidak memutuskan hubungan perdagangan dengan Rusia, sebaliknya hanya tidak menyokong peperangan antara Rusia dengan Ukraine.
“Saya lihat yang disekat itu adalah syarikat teknologi, ada antaranya membuat mikrocip dan itu merupakan pengeluaran biasa Malaysia. Sebelum ini juga mungkin mereka eksport ke AS tanpa apa-apa sekatan tapi persoalannya kenapa tiba-tiba sekatan dibuat.
“Mungkin kita perlu fikirkan strategi yang cuba dilakukan oleh kerajaan. Adakah kita memenuhi tekanan daripada Amerika Syarikat dan pihak-pihak tertentu atau Malaysia ingin menonjolkan sikap berkecuali kita.
“Kalau kita tidak mahu dilihat bersekongkol dengan Rusia atau mana-mana pihak yang menyerang Ukraine misalnya, kita boleh berikan alasan tu. Pada masa ini pun kita lihat di media massa bagaimana Turkiye dituduh sebagai bersekongkol dengan Israel sedangkan mereka membekalkan minyak di pelbagai negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sekatan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) terhadap enam syarikat yang berpangkalan di Malaysia kerana beroperasi atau pernah beroperasi dalam sektor pembuatan Rusia.
Tindakan tersebut bertujuan menyekat pengeluar, pengeksport dan pengimport barangan yang dianggap kritikal bagi menyokong asas industri kepada ketenteraan Rusia dan syarikat berkenaan adalah antara hampir 400 entiti dan individu yang disekat.
Tambah Barjoyai, di sesetengah negara Asia Barat juga melakukan perkara yang sama iaitu membekalkan secara langsung atau tidak langsung kepada Israel.
“Jadi kita mungkin perlu melihat daripada perspektif itu untuk menghakimi adakah syarikat tersebut melakukan perkara yang betul atau mementingkan pendapatan jangka masa pendek semasa dan mengorbankan matlamat Malaysia untuk menjadi negara berkecuali.
“Kita nak tahu adakah barang yang dieksport ini untuk persediaan perang bagi Rusia atau ia merupakan pembekalan teknologi kepada negara berkenaan yang merupakan urus niaga biasa,” jelasnya.
Ditanya jika sekatan itu sebenarnya adalah salah satu bentuk tekanan kepada Malaysia kerana menyertai BRICS, beliau tidak melihatnya ke arah itu.
“Saya rasa itu jauh sedikit kalau nak katakan tekanan disebabkan penyertaan BRICS. Seperti sedia maklum, Malaysia merupakan negara terbuka yang mengeksport 85 peratus keluaran negara. Memang rakan dagang kita yang utama ialah negara BRICS misalnya China dan Rusia,” jelasnya.