SHAH ALAM - Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kalangan golongan T15 tidak akan terjejas kerana banyak peluang ekonomi lain akan diberikan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar percaya bahawa kewibawaan Perdana Menteri masih popular dalam kalangan terbabit memandangkan peluang atau kemudahan yang bakal ditawarkan buat golongan berkenaan.
“Saya percaya Perdana Menteri akan popular dalam kalangan golongan mahakaya kerana kerajaan juga menyediakan peluang perniagaan tertentu selain kontrak dan sebagainya... Win-win situation, tetap popular jugalah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam pada itu jelasnya, dalam ajaran Islam juga memerintahkan agar golongan berharta menunaikan zakat agar mampu mengimbangi ekonomi masyarakat dan keseluruhan rakyat amnya.
“Orang kaya dalam Islam wajib bayar zakat, zakat itu salah satunya untuk membantu orang miskin, salah satu daripada asnaf yang layak terima zakat itu orang susah dan miskin.
“Bantu dialah supaya dia meneruskan kehidupan, jadi meringankan kehidupannya, (umpamanya)... kalau beri subsidi kepada orang kaya, seolah-olah kerajaan bagi zakat pada orang kaya,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa dakwaan mengatakan populariti Perdana Menteri akan terhakis dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi hanyalah sekadar mainan sesetengah pihak yang mahu mengekalkan subsidi sedia ada.
Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi merupakan langkah tepat dan berani yang sepatutnya dilaksanakan kerajaan ketika ini.
“Soal terhakis populariti, sebenarnya belum ada lagi golongan kaya di Malaysia yang komen...bagi saya, mereka faham.
“Kalau rasionalisasi subsidi ini dibuat ke atas golongan mahakaya, saya anggarkan penambahan lebih RM300 sebulan perbelanjaan petrol tidak menjejaskan pendapatan mereka lah. Ini tindakan yang berani dan patut diberikan pujian bukanlah sebaliknya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak meminta agar golongan T15 tidak kecil hati mengenai pelaksanaan berkenaan.
“Golongan mahakaya jangan tersinggung, bukanlah kenakan cukai pendapatan atau tindakan apa-apa kepada mereka, hanya ambil subsidi sedia ada, misalnya diserahkan kepada komuniti setempat, pembinaan sekolah dan bantuan miskin... patutnya bangga kerana mereka turut menyumbang kepada negara,” katanya.