SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak bertekad bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan meminta Gabungan Parti Sarawak (GPS) bekerjasama memberi laluan atas semangat Kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Tay Wei Wei berkata, GPS dituntut berjiwa besar untuk membenarkan PKR dan Pakatan Harapan (PH) Sarawak bertanding di semua kerusi diperuntukkan kepada koalisi berkenaan.
“GPS harus memahami PKR dan PH Sarawak sudah memainkan peranan cemerlang sebagai pembangkang yang menyokong kerajaan negeri, pada masa sama merupakan rakan kongsi utama dengan GPS melalui semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Justeru, keputusan PKR Sarawak mahu bertanding PRN akan datang adalah bagi membuktikan kepada rakyat Sarawak bahawa parti itu dan PH serius untuk berkhidmat kepada mereka,” katanya kepada media pada Isnin.
Kenyataan Wei Wei atau lebih dikenali Naga Libau dikeluarkan di tengah-tengah spekulasi GPS mungkin tidak memberi ruang kepada mana-mana parti semenanjung yang bekerjasama dengan mereka menerusi Kerajaan Perpaduan untuk bertanding pada PRN Sarawak akan datang.
Ketika ini, GPS menguasai 76 kerusi iaitu melebihi dua pertiga daripada 82 kerusi DUN Sarawak, manakala Parti Sarawak Bersatu PSB yang baru mengumumkan keputusan menyokong kerajaan negeri memperoleh empat kerusi.
PKR Sarawak buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun gagal menyandang sebarang kerusi DUN, manakala PH melalui Parti Tindakan Demokratik (DAP) memiliki dua kerusi.
Sementara itu, Wei Wei turut mengumumkan PKR Sarawak bakal memulakan jelajah ke semua 31 cabang parti berkenaan di Sarawak, bermula dari Utara Sarawak iaitu cabang Lawas dan berakhir di Petrajaya bermula November hadapan.
Menurutnya, jelajah itu bertujuan menyantuni semua ahli PKR di setiap 31 cabang di Sarawak dan memperkasakan jentera parti untuk memastikan agenda Malaysia Madani dirasakan di peringkat akar umbi.
“Semua Ketua Cabang telah diarahkan untuk memperkasakan cabang dengan membuat aktiviti penambahan anggota baharu dan pendaftaran ranting-ranting baharu di setiap kampung dan kawasan masing-masing serta menstruktur dan memantapkan jentera bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Strategik MPN PKR Sarawak, Iswardy Morni menegaskan PKR Sarawak masih menunggu restu daripada kepimpinan PKR Pusat dalam menentukan jumlah kerusi DUN yang wajar ditandingi pada PRN Sarawak akan datang.
“Pada masa sama, kepimpinan PKR Pusat juga akan memutuskan sama ada PKR Sarawak akan diberi laluan bertanding oleh GPS atau tidak.
“Kami berharap akan menerima berita baik serta percaya PKR dan PH Sarawak perlu memainkan peranan signifikan sebagai rakan kongsi Kerajaan Perpaduan dengan GPS,” katanya.