Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak bukan perkara baharu - Nanta

KOTA KINABALU - Usaha menuntut kuota 35 peratus ataupun satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah bukan perkara baharu, kata Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, semua pihak juga telah mengetahui apa keperluannya dari sudut Sabah dan Sarawak.

"Memang perkara ini telah dinyatakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg. Jadi perkara ini bukan perkara baharu malah Sabah pun sependapat dengan Premier Sarawak dalam perkara ini dan banyak perbincangan sudah.

"Semua pihak sudah tahu apa sebenarnya keperluan ini kerana dari sudut Sarawak dan Sabah ini sebagai satu hak mereka dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Surat Setuju Terima (SST) Kontraktor Lebuhraya Pan Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada malam Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkara yang dibangkitkan Abang Johari mengenai tuntutan untuk mengembalikan satu pertiga kerusi parlimen kepada kedua-dua negeri itu.

Tambah beliau yang juga Menteri Kerja Raya, apa yang penting ketika ini adalah bagaimana untuk mencapai tuntutan tersebut supaya ia direalisasikan.

"Tapi yang penting bagaimana kita nak mencapai, jadi perlu diperhalusilah kaedah-kaedah supaya kita boleh dapat merealisasikan apa yang dituntut itu," katanya.