Radzi, Ronald dan Ahmad Faizal diramal menang

SHAH ALAM - Biarpun kerusi Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua Srikandi dimenangi tanpa bertanding oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, namun pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap meriah apabila enam calon bakal merebut jawatan Naib Presiden dan 80 pemimpin berebut jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden bagi penggal 2024-2027 selepas tiada individu lain menghantar borang pencalonan bagi mencabar mereka.

**media[2834195]**

Mas Ermieyati pula menang tanpa bertanding selepas penyandang jawatan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun menarik diri daripada pencalonannya.

Justeru, Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, tumpuan utama pemilihan Bersatu kali ini adalah perebutan jawatan Naib Presiden, Ketua Armada Bersatu dan Ahli MPT.

“Biarpun enam calon bertanding, namun saya meramalkan ahli Bersatu akan memilih untuk mengekalkan dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai Naib Presiden Bersatu dalam pemilihan akan datang.

“Seorang lagi bakal memenangi jawatan Naib Presiden ialah bekas Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana pengorbanannya sanggup berkompromi dan memberi laluan kepada Datuk Seri Hamzah menang tanpa bertanding kerusi Timbalan Presiden sekali gus mengelak berlaku perpecahan dalam Bersatu,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium.

**media[2834196]**

Tambahnya, tiga lagi calon iaitu Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan, Aziss Zainal Abiddin sukar menang jawatan Naib Presiden kerana pengaruh mereka tidak sebesar, Ahmad Faizal, Mohd Radzi dan Ronald.

Ujarnya, Mohd Radzi, Ronald dan Ahmad Faizal juga berpotensi menang kerana mereka dilihat sebagai pemimpin masa depan Bersatu selepas pemimpin veteran parti itu berundur daripada arena politik.

“Malah, Bersatu perlu mengekalkan Ronald kerana beliau mewakili suara rakyat Sabah dan Sarawak bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Oleh itu, saya meramalkan Ronald akan mendapat undian tertinggi bagi perebutan jawatan Naib Presiden, diikuti oleh Mohd Radzi dan Ahmad Faizal,” ujarnya.

Mazlan berkata, beliau juga melihat amalan demokrasi dalam Bersatu semakin subur apabila lebih 80 pemimpin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli MPT termasuklah bekas Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Penerangan Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

“Ini membuktikan Bersatu masih relevan dan mereka boleh bangkit untuk memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Udangan Negeri (DUN) selepas kalah dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan diselubungi episod pengkhianat wakil rakyatnya yang melompat parti.

“Perkara ini juga menunjukkan Bersatu tidak ketandusan pemimpin pelapis muda berwibawa dan mempunyai penyokong akar umbi yang besar seperti parti lain,” katanya.

Menurut Mazlan, beliau sudah meramalkan Muhyiddin dan Hamzah akan menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden kerana mereka adalah pemimpin paling dominan dalam Bersatu sekarang.

“Mereka juga dianggap pemimpin sepanjang zaman dan malah sekiranya Muhyiddin berundur, Bersatu akan lemah...Muhyiddin sebenarnya tidak rugi apa jika berundur daripada politik kerana beliau pernah berada di puncak kegemilangannya berikutan sudah dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Bersatu masih memerlukan pengaruh Muhyiddin yang dianggap masih dominan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 dan memimpin Perikatan Nasional bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Muhyiddin adalah pemimpin yang tidak boleh ditukar ganti oleh Bersatu buat masa sekarang seperti pengaruh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PKR dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam UMNO,” katanya.

Mazlan juga memuji sikap Rina yang sanggup menarik diri daripada pencalonan jawatan Ketua Srikandi selepas melihat Mas Ermieyati mampu meningkatkan sayap Bersatu terbabit ke arah lebih baik.