[VIDEO] Henti desak wujud Kerajaan Perpaduan di Johor

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Pemuda MCA menggesa semua pihak menghentikan desakan agar diwujudkan Kerajaan Perpaduan di Johor dan memberi tumpuan untuk membela kebajikan rakyat.

Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata, pihaknya merasakan tiada keperluan bagi mana-mana pihak mendesak kerajaan negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mewujudkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu buat masa sekarang.

“Ketepikan kepentingan politik peribadi dengan menuntut jawatan atau kuasa. Sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu bersama-sama membela kebajikan rakyat dan membangunkan negeri serta negara secara keseluruhannya.

“Jika desakan dan tuntutan ini berterusan, ia pasti akan menimbulkan persoalan terutama dalam kalangan rakyat. Keikhlasan pemimpin parti terutama daripada parti DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) ketika membantu Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pastinya dipersoalkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook MCA pada Selasa.

Pada September 2023, Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, sudah tiba masanya kerajaan negeri Johor mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan harapan supaya pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjadi Exco di negeri berkenaan.

Suara dengan tuntutan sama turut diutarakan pada September tahun ini dan kali ini dari parti Amanah iaitu oleh Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan serta Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda.

Dalam PRK Mahkota pada Sabtu lalu, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,648 undi.

Choo Seong menegaskan, MCA sepatutnya dijadikan sebagai contoh kerana walaupun menyokong Kerajaan Perpaduan tetapi mereka tidak mendesak atau meminta-minta jawatan atau kuasa sama ada di peringkat Persekutuan, negeri atau di peringkat ahli majlis sekali pun.

Kata Choo Seong, sebaliknya mereka meneruskan kerja-kerja untuk membantu rakyat dan menyokong usaha baik kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di negeri, demi kemajuan dan kebaikan bersama kerana perkara tersebut lebih utama berbanding memenuhi kepentingan peribadi atau parti.

“Pada masa yang sama, MCA akan meneruskan usaha pemerkasaan dan transformasi dalaman agar dapat menawan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina.

“Antara perubahan ketara yang dapat dilihat adalah lebih ramai golongan muda dan profesional yang diberi peluang untuk memainkan peranan aktif dalam parti. Terbukti MCA kini dilihat lebih proaktif dan inovatif, khususnya melalui ruang media sosial,” ujarnya.