SHAH ALAM - Tiada masalah buat lapan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkompromi mengekalkan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Seri Hajiji Mohd Nor sebagai Ketua Menteri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Bagaimanapun, Ketua PGRS Bahagian Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menjelaskan senario itu hanya bakal tercapai sekiranya PGRS diketuai Hajiji berjaya mencapai tiga objektif penting.
**media[2806986]**
Tambah bekas Naib Ketua Pemuda UMNO itu, tiga objektif utama itu adalah PGRS dan Hajiji perlu bersedia menghormati status quo kerusi dimenangi parti-parti komponen dalam GRS, menawarkan agihan kerusi pilihan raya secara sama rata serta berjaya memastikan koalisi itu memenangi kerusi DUN terbanyak pada PRN Sabah kelak.
Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO itu turut percaya keputusan penyertaan majoriti enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO yang menyokong kepimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah sebelum ini turut memberi nilai tambah besar kepada PGRS dan GRS.
Setakat ini, selain PGRS, tujuh lagi parti yang menyertai GRS adalah Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober tahun depan, diikuti pilihan raya yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
"Setakat ini, apa yang dimaklumkan Presiden (Hajiji) kepada parti adalah GRS sudah bersepakat untuk mengekalkan status quo agihan kerusi yang menang kepada lapan parti komponen membentuk koalisi perdana itu.
"Dengan enam lagi bekas ADUN UMNO menyokong PGRS, kita sebenarnya sudah mempunyai kekuatan untuk berunding dengan STAR dan PBS bagi memastikan kedudukan Pengerusi GRS akan kekal sebagai Ketua Menteri sekiranya menang PRN17.
"Sebagai pemimpin akar umbi PGRS, saya menyerahkan kepada kebijaksanaan Hajiji untuk menyusun atur strategi agar PGRS dapat bekerjasama dengan baik bersama parti-parti komponen lain, sekali gus mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri kelak," kata Jamawi kepada Sinar Premium.
Soal kemungkinan pengekalan kerjasama dengan parti-parti nasional seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN17, Jamawi bagaimanapun agak skeptikal dengan strategi sedemikian.
Ini kerana beliau menegaskan kehendak rakyat Sabah pada saat ini mahukan parti-parti lokal negeri itu bersatu seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membangunkan Negeri di Bawah Bayu.
"Rakyat Sabah sudah mula sedar apabila parti-parti lokal di Sarawak bersatu padu, maka tuntutan rakyat negeri berkenaan, hak royalti petroleum dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terpaksa dituruti oleh Kerajaan Perpaduan.
"Namun begitu, tidak bermakna GRS mengenepikan keperluan bekerjasama dengan parti-parti nasional yang sedang bersama kita seperti PH ketika ini. Apa pun, sebarang keputusan saya kira akan diputuskan pucuk kepimpinan parti menjelang PRN tahun hadapan," katanya.
Sementara itu, Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe menegaskan parti itu hanya memutuskan kerjasama dengan mana-mana parti politik, sewaktu PRN17 berlangsung tahun hadapan.
**media[2806985]**
Jelas ADUN Luyang itu, buat masa ini, DAP bersama PH Sabah akan meneruskan kerjasama politik sedia ada dengan GRS demi mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Hajiji.
"Pendirian DAP Sabah, kita bukan sebuah parti yang mahu menjadi parti dominan yang akan menyukarkan lagi konflik dalaman politik negeri ini.
"Sejak tahun 2018 lagi, DAP dan PH Sabah sudah menunjukkan komitmen untuk menyokong parti lokal yang mendominasi politik negeri. Sebagai contoh, pasca PRU14, kita menyokong Parti Warisan (Warisan) untuk membentuk kerajaan negeri.
"Kini, kita menyokong pula GRS atas semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. DAP tiada masalah untuk memainkan peranan sebagai parti sokongan kepada parti lokal," kata Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah itu.