BN perlu dapatkan sokongan PH

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor pada 28 September ini.

Bagaimanapun, mereka tidak boleh terlalu selesa, sebaliknya masih perlu menyusun strategi kerana mungkin wujud unsur sabotaj undi oleh penyokong yang tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan parti.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, unsur sabotaj tidak mustahil berlaku kerana terdapat bukti menunjukkan ramai ahli UMNO tidak mengundi calon BN, sebaliknya beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Justeru, BN terutama UMNO perlu menggerakkan jentera kempen bagi menarik semula sokongan pengundi Melayu ketika PRK Mahkota nanti,” katanya.

Malah, ujar beliau, BN mampu menang dengan majoriti besar iaitu lebih 6,000 undi jika mendapat sokongan pengundi teras UMNO dan Pakatan Harapan.

Menurutnya, kerjasamadengan PH membolehkan BN mendapatkan undi daripada kaum lain kerana DUN Mahkota merupakan kerusi campuran mewakili 43 peratus daripada lebih 66,000 pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

**media[2789265]**

“Biarpun BN menang dengan majoriti lebih 5,000 undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022, namun mereka memerlukan bantuan dan sokongan PH terutama DAP untuk meraih undi daripada kaum lain terutama orang Cina dalam PRK Mahkota nanti.

“Jika UMNO mahu menang dengan majoriti lebih besar berbanding PRN Johor 2022, mereka perlu memastikan PH menggerakkan jentera pilihan raya untuk merayu mengundi calon mewakili Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambah Mazlan, BN juga boleh meraih kemenangan bergaya sekiranya berjaya mengatasi pembangkang dalam kempen menerusi media sosial.

Ujar beliau, ini dapat dilihat apabila majoriti pengundi muda berusia bawah 40 tahun sangat terpengaruh dengan kempen dilancarkan pembangkang menerusi media sosial terutama TikTok kecuali dalam PRK Nenggiri baru-baru ini.

“Apa yang lebih penting, BN-UMNO perlu menyantuni dan membuat akur janji kepada anak muda bahawa UMNO sentiasa menjaga kebajikan dan kepentingan anak muda terutama orang Melayu biarpun mereka sekarang bersama PH dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya,” katanya.

MOMENTUM

Sementara itu, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, biarpun BN meraih kemenangan bergaya dengan majoriti lebih 3,000 undi dalam PRK Nenggiri lalu, namun belum tentu parti itu dapat meneruskan momentum kemenangan besar itu pada PRK Mahkota nanti.

Ini kerana, katanya, kemenangan BN dalam PRK Mahkota bukan bergantung kepada undi pengundi putih UMNO dan orang Melayu semata-mata, sebaliknya mereka turut memerlukan sokongan kaum lain susulan dari segi demografi kawasan terbabit dikategorikan sebagai kerusi campuran.

Malah, beliau berkata, dari segi demografi pengundi Melayu termasuk ahli UMNO hanya mewakili 57 peratus daripada lebih 66,000 pengundi di DUN Mahkota, 34 peratus lagi ialah orang Cina, manakala bakinya ialah kaum India dan lain-lain.

Justeru, Mohd Yusri Ibrahim melihat BN tidak akan diberikan laluan mudah oleh PN untuk mempertahankan kerusi DUN Mahkota yang dimenangi oleh Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dengan majoriti besar 5,166 undi ketika PRN Johor pada 12 Mac 2022.

Selain itu, katanya, BN juga kehilangan faktor penting yang menyumbang kepada kemenangan UMNO pada PRN Johor 2022 iaitu pengaruh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

“Jadi, saya melihat BN mungkin akan kalah jika mereka berkempen secara bersendiri tanpa bantuan PH. Buktinya UMNO-BN kalah kepada PH dengan majoriti 1,668 undi dalam PRU14 pada 2018.

“Jika disorot mengikut undi DUN Mahkota, UMNO-BN juga kalah dengan majoriti 4,686 kepada PH bagi perebutan Parlimen Kluang dalam PRU15 pada 2022,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, nasib BN tanpa kerjasama PH adalah tidak menentu dalam PRK Mahkota nanti.