Pas kini terbuka untuk bukan Islam

TEMERLOH - Pas kini membuka keahlian kepada bukan Islam sebagai ahli bersekutu selepas parti tersebut meluluskan pindaan Perlembagaan pada Muktamar Pas ke-70, pada Sabtu.

Usul itu diluluskan selepas dipersetujui oleh dua pertiga daripada 1,324 perwakilan parti yang hadir pada himpunan tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika membentangkan usul itu menjelaskan antara syarat keahlian bukan Islam mestilah penganut agama lain.

**media[2807946]**

Menurutnya, golongan ateis atau tiada beragama, tidak layak menjadi ahli bersekutu Pas.

“Beragama selain daripada Islam, ia kita sebut bukan beragama Islam (atau) beragama selain Islam.

“Ini bermaksud seseorang hendak menjadi ahli bersekutu Pas mesti beragama, sama ada Hindu, Kristian, Buddha dan mesti jadi ahli agama apa saja yang ada dalam dunia ini.

“Dalam kata lain ateis, orang tidak beragama tak boleh jadi ahli bersekutu Pas,” katanya ketika membentangkan usul tersebut di Kompleks Al-Makmur di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menjelaskan, pindaan berkenaan melibatkan Fasal 10 yang sebelum ini hanya mempunyai satu keahlian.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin memaklumkan Pas akan membuat beberapa pindaan Perlembagaan termasuk fasal berkaitan penyertaan ahli bukan Islam dalam parti itu.