Tak perlu pasukan khas pantau salah laku, BN percaya penilaian SPR

KLUANG - Tiada keperluan untuk Barisan Nasional (BN) mewujudkan pasukan khas bagi memantau sekiranya wujud salah laku dilakukan calon mahupun parti bertanding sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau meletakkan kepercayaan penuh kepada pasukan memantau kesalahan bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat penilaian sewajarnya.

Menurutnya, sesiapa sahaja boleh menyalurkan maklumat kepada SPR sekiranya berlaku pelanggaran peraturan yang ditetapkan sepanjang kempen.

“Kita percaya kepada SPR, jadi kalau ada apa-apa salah laku, salurannya adalah pada SPR, jadi sudah tentulah apa pun keputusan SPR kita kena hormat.

“Setakat ini tidak ada idea atau cadangan untuk penubuhan (pasukan khas pemantau perjalanan PRK DUN Mahkota daripada BN), sebab kita ada SPR yang ada satu jawatankuasa untuk memantau.

“Kalau ada apa-apa, semua orang bukan parti lawan sahaja (buat salah), kalau pengundi rasa ada kesalahan semasa PRK DUN Mahkota boleh berhubung dengan SPR,” katanya kepada pemberita selepas melakukan walk about dan berkempen untuk calon BN di Pasar Malam Bukit Ayam di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan tindakan Perikatan Nasional (PN) menghantar pemerhati PRK DUN Mahkota bagi memantau perjalanan PRK itu serta kesalahan yang mungkin berlaku melibatkan calon dan parti politik terlibat.

Menurut Tuan Ibrahim, tindakan itu dilakukan susulan mengambil iktibar daripada perjalanan pilihan raya terdahulu seperti di DUN Nenggiri dan Pelangai.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal mengalu-alukan langkah berkenaan, sambil menyifatkan ia wajar dibuat secara menyeluruh, bukan sahaja memantau kemungkinan salah laku pihak BN atau Pakatan Harapan (PH) tetapi juga PN sendiri.

Katanya, PN perlu memantau agar mereka tidak ‘tergelincir’ dengan melakukan salah laku.

"Saya percaya kita (BN) akan berkempen secara baik dan matang dalam PRK DUN Mahkota. Jadi apa pun cadangan saya alu-alukan," katanya.