‘Saya tidak perlu desak hapus Akta Hasutan’ - Mohd Puad

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris bahawa beliau perlu mendesak kerajaan supaya membawa usul menghapuskan Akta Hasutan 1948.

Mohd Puad berkata, tidak ada keperluan untuk berbuat demikian kerana beliau menyokong akta tersebut dan berpandangan bahawa ia masih perlu dikekalkan.

Ujarnya, ia juga penting bagi mencegah politik toksik yang menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R).

“Saya tidak perlu berbuat demikian. Saya sokong Akta Hasutan kekal.

“Setelah 67 tahun Malaysia merdeka ramai pemimpin politik belum bebas daripada politik 3R.

“Contohnya apa yang Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin buat terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Ia fitnah,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, Razali meminta Mohd Puad untuk tidak menyalahkan Muhyiddin berhubung ketiadaan inisiatif kerajaan dalam memansuhkan Akta Hasutan sepanjang 17 bulan pentadbirannya.

Menurut Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Johor, beliau turut menentang kuat Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) kerana menahan orang ramai tanpa bicara.

"UMNO telah hapuskannya (ISA) tetapi Akta Hasutan 1948 ada perbicaraan. Ia tidak zalim.

“Muhyiddin yang dakwa akta itu zalim. Sebab itu saya tanya kenapa tidak hapus semasa dia Perdana Menteri kelapan.

“Itu salah Muhyiddin dan Razali,” ujarnya.