SHAH ALAM - Jumlah kerusi Parlimen di Malaysia berpotensi bertambah antara 60 hingga 70 kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berbanding jumlah keseluruhan 222 kerusi yang telah ditetapkan buat kali terakhir pada tahun 2008.
Bagaimanapun, unjuran itu hanya menjadi realiti seandainya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjaya menyiapkan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya lebih awal dengan cadangan kajian berkenaan mendapatkan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, usaha pelaksanaan penambahan kerusi Parlimen adalah sesuatu yang sukar dielakkan pada masa ini susulan berlaku pertambahan mendadak jumlah pengundi di kawasan Parlimen tertentu.
**media[2761965]**
Sebagai contoh, Mazlan berkata, di Selangor Parlimen Bangi mencatatkan pertambahan pengundi paling ramai pada PRU15 lalu, dengan 124,640 individu diikuti Kota Raja (95,691) dan Subang (84,518) susulan pelaksanaan undi-18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.
Malah, kawasan Parlimen Bangi kini mencatatkan jumlah penduduk tertinggi antara 222 kawasan Parlimen di Malaysia iaitu 691,900 orang, diikuti Parlimen Kota Raja dengan 526,400 orang dan Parlimen Subang sebanyak 481,100 orang.
Berdasarkan laman web SPR pula, kini terdapat tidak kurang 85 kawasan Parlimen mempunyai pengundi melebihi 100,000, yang jika kesemuanya dipecahkan kepada dua kawasan berpotensi menyaksikan pertambahan kerusi Parlimen daripada 222 kepada 307 kerusi.
"Justeru jika ditanya berapa jumlah paling ideal pengundi bagi setiap Parlimen di Semenanjung Malaysia, jawapannya ialah sekitar 50,000 hingga 60,000 manakala Sabah dan Sarawak serta luar bandar sekitar 15,000 hingga 30,000 pengundi.
"Oleh itu, saya berpandangan Malaysia perlu menambah bilangan kawasan Parlimen baru antara 60 hingga 70 kerusi Dewan Rakyat bagi mengimbangi pertambahan populasi penduduk di negara ini termasuk masing-masing lapan hingga 10 kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak," katanya kepada Sinar Premium.
Dalam pada itu, Mazlan berpandangan Sabah dan Sarawak berhak mendapatkan 35 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen yang diperuntukkan di seluruh negara sekiranya Dewan Rakyat meluiluskan cadangan persempadanan kerusi pilihan raya oleh SPR pada masa hadapan.
Perkara itu, kata Mazlan amat penting bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan menunaikan salah satu janji atau syarat terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di mana termanya sebelum ini menetapkan Sabah, Sarawak dan Singapura perlu diberikan peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen di negara ini.
Bagaimanapun, Mazlan berkata selepas Singapura keluar dari Malaysia pada Ogos 1965, Sabah dan Sarawak hanya diberikan 26 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen di Malaysia sehingga sekarang.
Malah pada saat ini, daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, sebanyak 165 kerusi atau 75 peratus berada di Semenanjung, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi di negeri Borneo dengan masing-masing 26 kerusi di Sabah dan 31 kerusi di Sarawak.
"Sabah dan Sarawak berhak mendapat lebih banyak kerusi Parlimen berasaskan faktor geografi dan keluasan negeri yang besar serta jaringan pengangkutan yang kurang baik menyebabkan kedua-dua negeri itu memerlukan lebih ramai perwakilan sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu pun Dewan Rakyat," ujarnya.
Sementara itu, Mazlan berkata, biarpun pihak pembangkang mendakwa Kerajaan Madani akan menggunakan kaedah 'Gerrymandering' atau manipulasi persempadanan semula kawasan pilihan raya sebagai senjata terakhir untuk mempertahankan status quo demi kekal berkuasa di Putrajaya pada PRU16, beliau berpandangan perkara sebaliknya mungkin bakal berlaku.
"Sebagai contoh biarpun proses persempadanan semula diluluskan Parlimen sebelum PRU14 namun ia bukan hanya tidak membantu kerajaan BN, malah menjadi senjata makan tuan.
"BN bukan sahaja kalah teruk kepada PH berikutan gelombang penolakan besar-besaran susulan pertambahan kerusi campuran, bahkan mereka hilang Putrajaya buat julung kalinya," katanya.
**media[2761964]**
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat pula, berpendapat persempadanan semula perlu dilakukan susulan pertambahan lebih enam juta pengundi baharu berikutan pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18.
Bagaimanapun jelas beliau, persempadanan itu tidak semestinya memerlukan pertambahan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), kecuali jika mahu menyamaratakan bilangan pengundi di negeri berkenaan.
Ujar Chin Huat, Perkara 113 dan Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan saiz pengundi yang ideal bagi setiap kawasan pilihan raya.
"Apa yang ditekankan adalah untuk kawasan pilihan raya dalam negeri yang sama, bilangan pengundinya mesti 'lebih kurang sama banyak' berdasarkan Subseksyen 2(C) dalam Jadual Ke-13.
"Contohnya pada April 2023, Bangi mempunyai 311,499 pengundi sedangkan Sabak Bernam hanya 51,842 pengundi, bermaksud jumlah pengundi Bangi lebih enam kali ganda berbanding Sabak Bernam.
"Perkara itu telah melanggar Perlembagaan kecuali jika kita anggap 'enam lebih kurang sama banyak dengan satu'. Ini juga merugikan orang muda Melayu kerana kuasa undi mereka rendah,” katanya kepada Sinar Harian.
Kali terakhir persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan adalah pada Mac 2018 iaitu sebelum PRU14
Tambah Chin Huat, persempadanan kawasan pilihan raya hanya boleh dilakukan dalam tiga keadaan iaitu persempadanan biasa, perubahan bilangan kerusi Parlimen atau DUN serta perubahan sempadan negeri seperti pembentukan Putrajaya suatu ketika dahulu.
"Persempadanan biasa dilakukan bagi mematuhi kehendak Jadual ke-13 terutama bilangan pengundi dalam negeri adalah hampir sama," katanya.
Menurut Chin Huat, ia hanya boleh dilakukan minimum selepas lapan tahun sejurus laporan kajian terakhir disampaikan kepada Perdana Menteri oleh SPR dan tiada tempoh maksimum.
“Bagi persempadanan kerana perubahan bilangan kerusi Parlimen atau DUN, tiada sekatan tempoh. Mesti dilengkapkan dalam masa dua tahun setelah perubahan bilangan kerusi berkuat kuasa, melibatkan negeri berkaitan,” jelasnya.
INFO
PERTAMBAHAN JUMLAH KERUSI DEWAN RAKYAT (1959-2024)
1959-1964: 104
1969: 144
1974-1982: 154
1986: 177
1990: 180
1995: 192
1999: 193
2004: 219
2008-2024: 222