SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mencabar Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk 'melepaskan' beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi ditandingi rakan-rakan dari Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Strategik Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak, Iswardy Morni berkata, GPS harus berjiwa besar melakukan perkara itu sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu bergabung dengan Kerajaan Perpaduan pada masa hadapan.
Jelasnya, pada saat GPS mampu berdiri kukuh sebagai sebuah kerajaan negeri dan menjadi sebahagian parti kerajaan di peringkat Pusat, koalisi parti lokal itu perlu sedar mereka tidak akan dapat menikmatinya tanpa bantuan gabungan PH terutama PKR.
Berikutan itu, Iswardy mengingatkan pucuk kepimpinan GPS agar tidak berterusan bersikap angkuh dengan menyatakan PKR tidak perlu bertanding di Sarawak atas alasan tidak menang sebarang kerusi di negeri berkenaan.
"Melalui kenyataan terkini Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memberi amaran kepada PKR supaya tidak bertanding PRN Sarawak kelak, adakah beliau cuba memecahbelahkan hubungan GPS, Kerajaan Perpaduan dan PKR dengan provokasi-provokasi terhadap PKR Sarawak?
"Beliau juga gigih memberi tanggapan kononnya desakan PKR Sarawak untuk meletakkan calon pada PRN akan datang sebagai berniat jahat.
"Tetapi beberapa siri kenyataan dibuat Premier merangkap Presiden GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan GPS akan bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen Sarawak, disusuli dakwaan DAP dan PKR seolah-olah tidak wujud di negeri itu.
"Siri kenyataan ini membuktikan niat untuk tidak mahu bergabung dan berniat buruk itu bukan dari PKR, tetapi dari GPS sendiri,"katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan terkini Abdul Karim yang memberi amaran kepada PKR Sarawak agar tidak bertanding pada PRN Sarawak yang dijangka berlangsung dalam tempoh dua tahun lagi.
Pada sidang media di Kuching pada Selasa, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu mengingatkan PKR bahawa penglibatan mereka boleh menjejaskan kestabilan gabungan itu di bawah Kerajaan Perpaduan.
Iswardy yang juga Setiausaha Koordinasi Penerangan PKR berkata, GPS sepatutnya tidak sekadar berbangga bergelar 'jaguh kampung' yang tidak berani keluar dari kepompong sempadan Sarawak untuk bertanding di kerusi negeri lain.
Jelasnya, GPS perlu berjiwa besar menerima semangat demokrasi diamalkan dalam politik negara ini di mana tiada masalah untuk parti-parti luar bertanding di Sarawak demi memberi pilihan alternatif kepada pengundi.
"Maka kita wajib memberi rakyat dan pengundi pilihan dalam kerangka politik dan pilihan raya.
"Pada masa sama, kita adalah parti yang mempunyai sejumlah kerusi bagi membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan bukan gabungan parti politik membentuk gabungan politik.
"Kontrak GPS-PH hanya termeterai hingga PRN dan Pilihan Raya Umum seterusnya dan apabila musim pilihan raya itu tiba, segala pembentukan kerjasama politik bergantung kepada rundingan pada waktu berkenaan," katanya.