PERIKATAN Nasional (PN) diramal meneruskan rentak kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan, susulan kejayaan mereka menang besar dengan majoriti 4,267 undi di PRK DUN Sungai Bakap, Sabtu lalu.
Perkara itu bukan sesuatu mustahil kerana statistik menunjukkan lebih 90 peratus daripada 20,259 pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kawasan DUN Nenggiri adalah pengundi Melayu manakala selebihnya adalah kaum lain.
Justeru, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali melihat jika naratif Melayu-Islam seperti digunakan PN di PRK DUN Sungai Bakap masih mendapat tempat di hati pengundi maka kemungkinan besar mereka akan dapat mengekalkan status quo di kerusi DUN Nenggiri nanti.
Oleh itu, Mazlan meramalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berdepan misi mustahil untuk merampas semula kerusi dikosongkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Azizi Abu Naim baru-baru ini.
“Antara punca utama kekalahan calon PH dan Kerajaan Madani dalam PRK DUN Sungai Bakap termasuklah kegagalan kerajaan memberi penerangan mencukupi mengenai pengumuman penyasaran subsidi diesel dan kebimbangan mengenai kenaikan harga petrol RON95.
“Justeru, saya melihat sentimen penolakan kepada calon mewakili Kerajaan Perpaduan akan semakin kuat dalam kempen PRK DUN Nenggiri.
“Persepsi penolakan itu bertambah kuat setelah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi bayangan rakyat bakal menerima satu lagi kejutan iaitu kenaikan harga petrol RON95 selepas penyasaran subsidi diesel sebelum ini,” katanya kepada Sinar Premium.
Bagi pihak UMNO-BN, antara isu-isu setempat yang mampu menjadi ‘peluru’ untuk digunakan dalam kempen PRK mereka adalah seperti isu tanah adat Orang Asli, pembalakan haram, pembangunan pembinaan Empangan Nenggiri, jalan raya dan masalah bekalan air.
Dalam pada itu, Mazlan yakin Pas dijangka terpaksa memberi laluan kepada calon Bersatu untuk bertanding di kerusi DUN Nenggiri, biarpun pucuk kepimpinan Pas kawasan Gua Musang menuntut supaya mereka diberi ruang bertanding.
Katanya, ini kerana Pas sedar akan kepentingan pengukuhan PN bersama Bersatu pada saat dinamik sokongan rakyat terhadap mereka semakin memuncak pasca PRK DUN Sungai Bakap.
“Biarpun terdapat rasa skeptikal akar umbi Pas terhadap calon Bersatu untuk bertanding di situ, namun keputusan PRK DUN Sungai Bakap membuktikan bukan satu tugas sukar untuk mereka mempertahankan kerusi DUN Nenggiri.
“Ia mampu tercapai dengan syarat penyokong Pas tidak bertindak memboikot calon PN dan melalukan sabotaj dalaman,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Mohd Azizi yang bertanding atas tiket Pas menang kerusi DUN Nenggiri selepas memperoleh 6,517 undi (majoriti 810) mengatasi penyandang kerusi berkenaan dari BN, Ab Aziz Yussof, yang mendapat 5,707 undi.
Bagaimanapun, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan mulai 19 Jun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, daripada seorang ADUN mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada Bersatu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini, manakala penamaan calon pada 3 Ogos dan undi awal dijadualkan pada 13 Ogos.
Peluang
Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berpandangan Bersatu wajar memberi peluang kepada Pas susulan episod ‘pengkhianatan’ dibuat Mohd Azizi yang beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, tindakan Mohd Azizi yang berpaling tadah atau melompat parti boleh mencetuskan perasaan tidak percaya dan kekecewaan dalam kalangan pengundi DUN Nenggiri.
“Pengundi mungkin merasakan bahawa calon Bersatu tidak lagi boleh dipercayai untuk mewakili kepentingan mereka dengan jujur dan berintegriti.
“Oleh itu, bagi mengelakkan sentimen negatif ini, Bersatu mungkin dilihat lebih bijak jika memberikan laluan kepada Pas yang mempunyai rekod lebih baik di kawasan tersebut,” ujarnya.
Hussain Yusri juga percaya pelantikan Pengarah Pilihan Raya BN PRK DUN Nenggiri, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li yang mempunyai akar umbi kuat di Kelantan, boleh membantu menghidupkan kembali semangat dan nostalgia pengundi terhadap kepimpinan UMNO.
Beliau juga percaya UMNO boleh menarik kembali sokongan pengundi teras mereka yang beralih arah sekiranya mereka berjaya menggabungkan kekuatan pengaruh Ku Li dengan strategi kempen yang moden dan berkesan.
“Untuk menghadapi cabaran ini, UMNO perlu memastikan kempen mereka relevan dan menyentuh isu-isu penting bagi pengundi seperti pembangunan ekonomi, infrastruktur, pendidikan dan kebajikan rakyat,” kata beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!