JOHOR BAHRU - Jentera Pakatan Harapan (PH) tidak gentar dengan tindakan PAS yang mengarahkan penyokongnya supaya mengundi calon Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kempen PH akan terus dipacu mengikut momentum sedia ada, tanpa terganggu dengan sebarang provokasi atau strategi lawan.
"Jentera PH akan meneruskan kempen seperti biasa walaupun terdapat seruan berkenaan, kami tidak gentar,” katanya kepada Bernama selepas ceramah Harapan di Permas Jaya di sini, malam ini.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata kekuatan sebenar PH terletak pada kerjasama pelbagai kaum dan agama, yang menjadi asas kepada kestabilan politik serta pemacu utama pembangunan ekonomi negara.
"Rakyat tidak seharusnya dipengaruhi oleh sentimen perkauman atau agama, sebaliknya memilih calon berdasarkan keupayaan, rekod perkhidmatan dan komitmen memperjuangkan keadilan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati rakyat Johor untuk memberikan mandat kepada PH, bagi memastikan wujudnya kesejajaran pentadbiran antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Mohamad berkata, penyelarasan itu sangat penting, bagi memudah cara pelaksanaan projek-projek strategik di Johor termasuk transformasi sistem pengangkutan, penambahbaikan kemudahan di pintu masuk antarabangsa serta kemasukan pelaburan.
Sementara itu, Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong menyifatkan kadar peratusan keluar mengundi khususnya dalam kalangan generasi muda, menjadi faktor penentu yang bakal mencorak keputusan PRN kali ini.
Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, pengalaman PRN Johor 2022, membuktikan peratusan keluar mengundi yang rendah telah memberikan kelebihan kepada BN, ditambah dengan ramai pengundi yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang mengundi susulan sekatan perjalanan akibat Covid-19.
Selain itu, beliau berkata, fasa kedua kempen tidak seharusnya hanya tertumpu kepada persaingan politik, sebaliknya memberi penekanan kepada tawaran dasar yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, antara isu yang perlu diberi perhatian ialah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dengan skala gaji yang kompetitif, supaya anak muda Johor tidak lagi perlu berhijrah mencari rezeki di negara jiran.
"Isu pengangkutan awam, banjir, penyelenggaraan sistem perparitan dan sungai, persediaan menghadapi masyarakat menua serta kemudahan penjagaan kanak-kanak, juga perlu menjadi agenda utama kerajaan negeri,” katanya.
Chin Tong berkata, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting, bagi mempercepat pelaksanaan inisiatif pembangunan termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti di negeri itu.
Sebanyak 172 calon bertanding dalam PRN Johor yang berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai. - Bernama