Tanda protes pengundi kecewa

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang melabuhkan tirai pada Sabtu menyaksikan kemenangan besar berpihak kepada calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dengan majoriti 4,267 undi.

Abidin yang meraih 14,489 undi meninggalkan jauh pencabar tunggalnya, iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang sekadar memperoleh 10,222 undi.

Di sebalik kisah kejayaan PN mempertahankan kerusi Sungai Bakap yang sebelum ini disandang Allahyarham Nor Zamri Latiff, menarik juga untuk diperhalusi mengapa PH yang merupakan tonggak kepimpinan Kerajaan Perpaduan gagal menawan hati dan undi rakyat di DUN berkenaan.

Antara teori dikemukakan pakar dan pemerhati politik berhubung faktor kekalahan PH ialah ketidakpuasan hati terhadap pelaksanaan dasar kerajaan yang disifatkan kurang mesra terhadap sesetengah kelompok rakyat.

Pensyarah Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, merangkap Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan termasuk ekonomi sebenarnya adalah baik untuk negara tetapi PH perlu bijak menghargai pengundi teras mereka.

“Terdapat tiga kelompok penyokong PH pada PRK Sungai Bakap. Pertama, kelompok yang masih mengundi PH dengan keyakinan perubahan akan berlaku selepas ini.

“Kedua, kelompok yang tidak keluar mengundi khususnya dalam kalangan pengundi Cina.

“Ketiga, kelompok yang keluar mengundi tetapi mengundi PN sebagai tanda protes, kecewa dan kecil hati dengan PH,” katanya kepada Sinar Premium.

Jelas Mohd Yusri, apabila semua elemen tersebut bergabung itulah yang menghasilkan keputusan PH kalah teruk dengan perbezaan majoriti undi lebih besar.

Jelasnya lagi, sejak beberapa siri terakhir pilihan raya, PH banyak disokong pengundi dalam kategori M40 atas dan T20.

“Termasuk dalam kategori ini adalah pengundi etnik Cina yang terlibat secara langsung dalam komuniti perniagaan.

“Untuk mewujudkan iklim ekonomi lebih mapan, Kerajaan Perpaduan yang diketuai PH memperkenalkan beberapa polisi ekonomi yang memberi kesan langsung kepada kelompok pengundi teras mereka sendiri.

“Antaranya seperti pelarasan beberapa jenis cukai, kenaikan tarif utiliti apabila digunakan pada kadar tinggi, pelarasan subsidi dan sebagainya,” jelas Mohd Yusri.

Menurut beliau, langkah ini sejak awal menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan kelompok terbabit.

“Sebahagiannya berasa kecil hati apabila parti yang disokong menang dan menjadi kerajaan tetapi mereka yang terkesan secara langsung.

“Sebaliknya, kelompok pengundi yang tidak menyokong PH mendapat pelbagai kelebihan melalui dasar ekonomi merakyat oleh kerajaan.

“PH perlu memikirkan jalan tengah terbaik, satu situasi menang-menang yang menguntungkan semua pihak,” katanya.

Kata Mohd Yusri, pengundi teras PH sebenarnya setuju bantuan diberikan kepada golongan B40 bawahan yang memerlukan, namun berharap pada masa sama PH tidak mendiskriminasikan kelompok mereka yang turut bergelut untuk hidup dengan kadar perbelanjaan sara hidup kini.

Sokongan pengundi muda

Dalam pada itu, Pensyarah kanan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, antara faktor kekalahan PH di Sungai Bakap adalah kerana tidak mendapat sokongan sebahagian besar pengundi muda yang menghampiri 13,000 orang dari umur 18 hingga 29 tahun.

“Kerajaan perlu memberi perhatian kepada pengundi muda yang merupakan sebahagian besar penyebab kekalahan PH di kawasan tersebut.

“Oleh itu, terdapat dasar-dasar yang berkaitan dengan golongan ini yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan,” katanya.

Jamaie turut berpendapat, pengundi muda lebih cenderung mengundi berdasarkan emosi dan trend media sosial kerana kurang terdedah kepada politik yang lebih mendalam.

“Selain golongan undi 18, pengundi dalam kategori umur 29 hingga 40 tahun turut dikenali sebagai 'anti-establishment' (anti-pemerintah) yang mana mereka akan menyokong pembangkang daripada kerajaan lebih-lebih lagi apabila isu yang dimainkan oleh juru kempen dengan lebih berkesan.

“Isu-isu yang diperkatakan di media sosial seperti TikTok turut memainkan peranan besar dalam meningkatkan sokongan kepada PN. Oleh itu, pengaruh Kerajaan Perpaduan yang berada di luar radar golongan muda ini tidak begitu dirasakan oleh mereka,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu melihat semula dasar yang kebarangkalian boleh meredakan suhu kritikan pengundi terhadap mereka seperti isu BlackRock.

“Biarpun isu-isu ini mungkin tidak langsung mempengaruhi pengundi di kawasan tersebut, kerajaan perlu mengkaji semula dasar-dasar yang mungkin menimbulkan kritikan seperti isu BlackRock, kerana ia berpotensi mencetuskan masalah yang berlarutan,” katanya.

Selain itu, kehadiran yang rendah dalam kalangan pengundi Cina di samping kepercayaan beberapa pengundi BN yang goyah terhadap PH turut menjadi faktor kekalahan pihak kerajaan di Sungai Bakap.

“Hanya kira-kira 45 peratus pengundi Cina yang mengundi, berbanding pengundi Melayu yang keluar mengundi sehingga hampir 70 peratus. Apabila lebih separuh daripada jumlah keseluruhan golongan Cina tidak keluar mengundi, ia akan memberi pengaruh yang besar terhadap keputusan PRK Sungai Bakap.

“Terdapat juga kemungkinan pengundi BN telah mengundi PN, berbeza dengan pilihan raya sebelumnya di mana persaingan utama adalah antara PN dan PH.

“UMNO masih belum pulih dan terdapat protes daripada pengundi yang enggan bekerjasama dengan DAP sehingga mereka lebih rela memberikan undi kepada calon daripada parti lawan,” jelasnya.

Beliau turut berkata, sekiranya PN berjaya mengekalkan status quo kejayaan mereka seperti di Sungai Bakap, berkemungkinan trend sokongan gelombang hijau di peringkat nasional boleh dikekalkan.

“Jika kita lihat kembali trend pilihan raya kecil yang berlaku sejak kebelakangan ini, setiap parti yang menang di kawasan masing-masing masih mengekalkan status quo mereka.

“Bagaimanapun, situasi tersebut boleh berubah sekiranya dalam masa tiga atau empat tahun ini, berlaku perpecahan antara Pas dan Bersatu atau BN dan PH,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!