SHAH ALAM - Beberapa pemerhati politik tempatan memberi amaran Kerajaan Perpaduan berisiko mengulangi nasib kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi susulan keputusan penyelarasan subsidi diesel berkuat kuasa pada Isnin.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, kerajaan BN pimpinan Abdullah atau lebih dikenali Pak Lah terbukti berdepan kemerosotan sokongan rakyat sangat teruk pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) tahun 2008, setelah mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen seliter dan RM1 bagi seliter diesel.
Menurutnya, beban keputusan politik Pak Lah itu turut dianggap faktor utama BN di bawah teraju Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada ketika itu - mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Pak Lah beberapa bulan sebelum PRU11 terlepas sokongan majoriti dua pertiga selain buat kali pertama kehilangan pentadbiran lima negeri.
**media[2686230]**
“Senario rasionalisasi subsidi diesel dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada saat ini secara imperatifnya adalah sama sahaja jika dibandingkan sewaktu zaman Pak Lah.
“Jika Kerajaan Perpaduan memperkenalkan inisiatif ‘fleet card’ dan bantuan tunai berasaskan sistem Budi Madani bagi menyerap kesan langsung ekonomi akibat kenaikan harga diesel, kerajaan Pak Lah turut memperkenalkan pendekatan serupa iaitu pemberian rebat kepada pengguna kenderaan.
“Cuma kesan politik terhadap kerajaan BN zaman Pak Lah-Najib itu dianggap lebih besar kerana melibatkan rasionalisasi subsidi minyak petrol.
“Bagi Kerajaan Perpaduan, walaupun minyak petrol belum lagi terlibat penyelarasan subsidi, faktor ketidakstabilan kerajaan mungkin boleh beri impak negatif hampir sama jika kerajaan tidak cekap dalam menyalurkan informasi dan menjelaskan justifikasi terhadap langkah diambil,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar yang menegaskan langkah Kerajaan Madani melaksanakan penyasaran subsidi diesel adalah perlu untuk menyelamatkan negara meskipun ia tidak popular.
Pada Ahad, kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula Isnin.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika mengumumkan perkara itu menjelaskan dengan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun.
Bagaimanapun, penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.
Selain Pak Lah, Najib yang kini menjadi tahanan di Penjara Kajang turut melaksanakan rasionalisasi subsidi pada 21 November 2014.
Bermula tarikh berkenaan, tiada lagi subsidi bagi kedua-dua bahan bakar itu memandangkan harga pasaran dunia lebih rendah berbanding harga di pam dengan kerajaan mengumumkan pelaksanaan penetapan harga runcit petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal.
Bagaimanapun inisiatif Najib itu dimansuhkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14 dengan komitmen pemberian subsidi bahan api dikembalikan.
Sementara itu, Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berpandangan Kerajaan Madani perlu berjiwa besar untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia sekiranya mereka tidak mahu keputusan penyasaran subsidi diesel menjadi beban politik PRU16.
Ujarnya, ini kerana majoriti figura dalam Kerajaan Perpaduan sebelum ini menolak idea penghapusan subsidi bahan api sewaktu mereka berada dalam blok pembangkang.
“Sekarang pun sudah begitu banyak lambakan hantaran media sosial daripada pemimpin utama seperti Perdana Menteri dan (Menteri Ekonomi) Rafizi (Ramli) sewaktu mereka menjadi pembangkang yang dikongsi semula rakyat, simbolik penyindiran terhadap keputusan politik terkini yang dianggap bercanggah dengan perjuangan terdahulu mereka.
“Saya fikir perkara sangat baik Kerajaan Madani boleh lakukan untuk meredakan kemarahan rakyat adalah dengan meminta maaf terhadap kenyataan lampau dan menyuarakan kesediaan untuk menelan janji-janji retorik demi masa hadapan negara.
“Ini masanya kerajaan menunjukkan kesederhanaan dan tidak terlalu ego dalam mempertahankan keputusan politik dilakukan mereka sekarang.
“Jika tidak saya percaya kesan domino kemarahan rakyat akan ditonjolkan melalui siri pilihan raya bermula Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bulan depan,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!