Nurul Izzah tak sesuai bertanding DUN

Tidak dinafikan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mempunyai pengalaman luas dan pengaruh tersendiri dalam arena politik tanah air sehingga digelar Puteri Reformasi.

Namun, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dilihat kurang sesuai untuk diturunkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Udangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang kerana pelbagai faktor.

Ini kerana ramai penganalisis politik tanah air berpandangan personaliti anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu terlalu besar untuk diturunkan sebagai calon PH dalam PRK DUN Sungai Bakap.

Mereka juga berpandangan watak seperti Nurul Izzah lebih sesuai diangkat sebagai Senator Dewan Negara atau ‘bermain atas pentas politik nasional’ iaitu diletakkan sebagai calon PH sekiranya ada kekosongan mana-mana kerusi Parlimen dalam masa terdekat.

Tambahan pula, tiada sesiapa pun dapat memberi jaminan tindakan PH meletakkan Nurul Izzah sebagai calon mampu memastikan PKR dapat merampas kembali kerusi DUN Sungai Bakap yang pernah menjadi kubu kuat mereka sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Penganalisis politik, Dr G Manimaran meramalkan PH tidak akan mengambil risiko menurunkan Nurul Izzah sebagai calon mereka dalam PRK DUN Sungai Bakap nanti.

Sebaliknya, Manimaran melihat adalah lebih baik dan tepat sekiranya PKR memberi peluang kepada anak tempatan termasuklah bekas calon PH dari PKR, Nurhidayah Che Rose yang tewas tipis kepada wakil Perikatan Nasional (PN), Allahyarham Nor Zamri Latiff, 56, dalam PRN lalu.

“Saya berpandangan lebih baik jika PH meletakkan anak tempatan yang berpengalaman dan sudah banyak berjasa kepada penduduk seperti Nurhidayah sebagai calon berbanding Nurul Izzah yang sesuai menjadi ahli Parlimen dan memberi sumbangan di peringkat nasional.

“Malah, kalau dilihat kepada keserasian dan kerjasama ditunjukkan UMNO di Kuala Kubu Baharu, saya yakin mereka mampu membantu kemenangan PKR dalam PRK DUN Sungai Bakap yang mungkin diadakan pada Julai depan,” katanya kepada Sinar Premium.

BOLEH JADI SENJATA MAKAN TUAN

Bagi Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian pula, beliau berpandangan biarpun kredibiliti dan reputasi Nurul Izzah tidak dapat dinafikan, namun Puteri Reformasi itu kurang sesuai diangkat sebagai calon untuk bertanding di peringkat DUN.

Beliau menegaskan, kerusi DUN Sungai Bakap lebih sesuai ditandingi anak tempatan yang dikenali ramai dan memahami pelbagai masalah dihadapi penduduk tempatan.

“Pencalonan Nurul Izzah juga boleh menjadi ‘senjata makan tuan’ kerana pembangkang sudah pasti akan menjaja cerita kononnya beliau diangkat sebagai calon kerana amalan nepotisme masih menebal dalam PH.

“Nurul Izzah adalah anak kepada Perdana Menteri dan anak Presiden PKR merangkap Pengerusi PH walaupun beliau memang layak,” katanya kepada Sinar Premium.

Sivamurugan berkata, antara faktor yang bakal menjadi penentu sama ada PH atau PN menang PRK DUN Sungai Bakap termasuklah prestasi wakil rakyat Pas sebelum ini, isu membabitkan kerajaan negeri dan isu nasional yang hangat diperkatakan iaitu penghapusan subsidi diesel selain kes anak Menteri Besar Perlis.

Dalam pada itu katanya, semua parti juga tidak boleh hanya mengharapkan undi daripada kaum tertentu sahaja kerana apa-apa sahaja boleh berlaku.

“Biarpun di atas kertas pengundi Cina dan India dilihat berpihak kepada PH, namun ia bukan jaminan mereka mampu merampas kembali kerusi DUN Sungai Bakap pada PRN nanti.

“Ini kerana kemenangan koalisi PH mahupun PN bergantung kepada pelbagai faktor lain termasuk peratusan keluar mengundi, undi orang Melayu, pengundi luar, demografi dan geografi khususnya perkampungan tradisi dan pekerja kilang,” katanya.

DUN Sungai Bakap menyaksikan 59.4 peratus pengundi Melayu, 22.5 peratus kaum Cina, India 17.8 peratus dan 0.7 peratus adalah lain-lain kaum.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!